Ronaldo, Messi Bakal Bersama Dalam Satu Pasukan
Peminat bola sepak ‘berdebar’ menantikan kemungkinan dua ikon terbesar dalam sejarah sukan ini – Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi – berganding bahu buat pertama kali sebagai rakan sepasukan di Inter Miami.
Gandingan epik ini dikatakan bakal berlaku menerusi kontrak jangka pendek yang sedang dirunding.
Ketika ini, Ronaldo masih terikat dengan kelab Al-Nassr di Liga Pro Saudi melalui kontrak lumayan yang memecahkan rekod.
Dengan tempoh kontraknya yang semakin menghampiri penghujung, sehingga kini masih tiada kata sepakat dicapai untuk lanjutan kontrak.
Ramai menjangkakan bintang berusia 40 tahun itu akan terus kekal di Timur Tengah. Namun, terdapat spekulasi bahawa beliau mungkin mempertimbangkan tawaran ke Inter Miami.
Menurut laporan dari talkSPORT, Ronaldo dikatakan berminat untuk menyertai Piala Kelab Dunia FIFA (CWC) yang bakal diadakan di Amerika Syarikat (AS) sebelum kembali ke Arab Saudi.
Inter Miami, yang dimiliki sebahagiannya oleh legenda England, David Beckham, merupakan salah satu daripada 32 kelab yang dijemput khas untuk menyertai kejohanan tersebut yang akan bermula pada 14 Jun.
Menariknya, Inter Miami kini sudah pun memiliki Messi, dan pintu tidak ditutup untuk membawa masuk Ronaldo.
Sumber turut mendakwa kelab tersebut mempunyai “ruang kewangan” yang mencukupi untuk menandatangani bekas bintang Manchester United itu, sekali gus membuka peluang untuk menyaksikan dua musuh tradisi ini bersatu di padang yang sama.
Apa yang anda perlu tahu
Ronaldo adalah pemenang lima kali Ballon d’Or, manakala Messi memegang rekod sebagai lapan kali pemenang anugerah tersebut.
Mereka telah berdepan sebanyak 36 kali sepanjang karier, dengan kebanyakan pertembungan berlaku semasa mewakili dua kelab gergasi Sepanyol – Real Madrid dan Barcelona – dalam perlawanan panas El Clasico.
Jika perpindahan ini menjadi kenyataan, ia bakal mencipta fenomena global kerana ramai peminat sudah lama mengimpikan gandingan dua pemain terbaik dunia ini dalam satu pasukan.
Bagaimanapun, buat masa ini, perbincangan masih di peringkat awal dan tiada keputusan rasmi dibuat.
BACA: Pengadil EPL Raih Pendapatan ‘Luar Biasa’
BACA: Rindu Faisal Halim Sarung Jersi Harimau Malaya Terubat
BACA: Harimau Malaya ‘Benam’ Nepal
Sumber: Goal