Pengadil EPL Raih Pendapatan ‘Luar Biasa’
Pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah antara individu yang menerima gaji paling tinggi di United Kingdom (UK), dengan pendapatan mencecah sekitar £250,000 (RM1.43 juta) setahun bagi pegawai utama.
Pendedahan ini dibuat oleh Ketua Pegawai Pengadilan, Howard Webb.
Menurut laporan The Times yang disampaikan kepada 72 kelab Liga Bola Sepak Inggeris (EFL), jumlah tersebut menunjukkan betapa lumayannya pendapatan pengadil elit yang bertanggungjawab mengendalikan perlawanan berprofil tinggi dan disaksikan oleh berbilion peminat di seluruh dunia.
Gaji pengadil berdasarkan pengalaman & senioriti
Secara purata, pengadil EPL memperoleh pendapatan antara £170,000 hingga £180,000 (RM974,000 hingga RM1.03 juta) setahun.
Gaji asas mereka bermula dari £72,000 (RM412,000) hingga £148,000 (RM848,000) bergantung pada tahap pengalaman dan senioriti.
Selain gaji asas, mereka turut menerima bonus prestasi dan bayaran bagi setiap perlawanan yang diadili.
Pengadil senior seperti Anthony Taylor dan Michael Oliver dianggarkan memperoleh hampir £250,000 (RM1.43 juta) setahun hasil tugas mereka dalam EPL sahaja.
Sementara itu, pengadil dalam kumpulan Select Group 1 yang kurang berpengalaman menerima sekitar £125,000 (RM716,000) setahun.
Pendapatan tambahan
Selain tugas dalam negara, pengadil EPL juga berpeluang meningkatkan pendapatan mereka dengan mengadili kejohanan anjuran UEFA seperti Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Liga Konferensi.
Dalam Liga Juara-Juara, pengadil dilaporkan menerima bayaran antara £5,300 (RM30,000) hingga £9,000 (RM51,000) bagi setiap perlawanan.
Pengadil yang bertugas dalam kejohanan utama FIFA seperti Piala Dunia pula boleh meraih pendapatan antara £38,700 (RM221,000) hingga £54,000 (RM308,000), tidak termasuk bonus perlawanan yang diberikan sebagai ganjaran tambahan.
Apabila mengambil kira caruman pencen dan insurans kebangsaan, badan pengadil profesional, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), dipercayai membelanjakan kira-kira £240,000 (RM1.38 juta) bagi setiap pengadil EPL.
Lebih tinggi berbanding kebanyakan profesion lain
Sebagai perbandingan, gaji purata beberapa profesion lain di UK jauh lebih rendah.
Juruterbang dan pengawal trafik udara menerima sekitar £91,208 (RM522,000) setahun.
Selain itu, diikuti ketua eksekutif (£81,328 atau RM465,000), pengarah IT (£81,588 atau RM466,000) dan pakar perubatan (£73,320 atau RM419,000).
Namun, pekerja dalam sektor kewangan, insurans dan undang-undang masih mampu memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.
BACA: Maksud Nombor Di Atas Landasan Kapal Terbang
BACA: Dua Tahun Lumpuh, Pesakit Beransur Pulih Dengan Bantuan “AI”
BACA: Ingatkan Kemalangan, Rupanya Kucing Ini Hilang Kaki Sebab Diatebes
Sumber: Stadium Astro