METMalaysia Keluarkan Ramalan Cuaca Pada Hari Raya
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat di beberapa kawasan yang terlibat pada Hari Raya Aidilfitri.
Dalam kenyataan tersebut, MET Malaysia memaklumkan beberapa negeri akan mengalami hujan serta ribut petir pada sebelah pagi, petang, dan malam sepanjang dua hari perayaan, iaitu 31 Mac dan 1 April.
Sebelah Pagi
“Pada pagi 31 Mac, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, serta Sarawak (bahagian Sarikei dan Mukah).
“Sementara itu ketika pagi 1 April, cuaca sama diramal melanda Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, serta bahagian barat Johor.
Sebelah Petang
“Pada sebelah petang 31 Isnin, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor (bahagian timur), Sarawak (bahagian Kapit dan Miri), serta Sabah (bahagian Sandakan, Tawau, dan Kudat) diramal hujan.
“Keesokan petang, ribut petir dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor (bahagian timur), dan Sabah,” Maklum kenyataan itu.
Sebelah Malam
Dalam pada itu, beberapa negeri seperti Pahang dan Sabah (bahagian Tawau) diramal hujan pada sebelah malam 31 Mac.
Manakala Terengganu, Pahang serta Sabah (bahagian Sandakan dan Tawau) diramalkan hujan beserta ribut pada malam 1 April.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia)