Siakap Keli
bantuan mangsa putra heights
Gambar: JBPM

Bantuan Buat Mangsa Letupan Paip Gas Di Putra Heights

Bantuan Buat Mangsa Letupan Paip Gas Di Putra Heights

Putra Heights digemparkan dengan letupan kuat pada pagi 1 April, yang mencetuskan kebakaran besar sehingga api menjulang setinggi 30 meter.

Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan teruk kepada rumah dan kenderaan.

Malah, ia turut mencetuskan panik dalam kalangan penduduk setempat yang cemas melihat kemusnahan berlaku di depan mata.

Justeru, berikut adalah senarai bantuan yang telah diumumkan untuk mangsa letupan paip gas di Putra Heights.

1. Bantuan kewangan daripada Kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang musnah sepenuhnya akibat kebakaran tersebut.

Bantuan sebanyak RM2,500 pula diberikan kepada pemilik rumah yang mengalami kerosakan sebahagian.

2. Sumbangan oleh Takaful Malaysia

Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) memberi sumbangan sebanyak RM100,000 bagi membantu mangsa yang terjejas.

Takaful Malaysia dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu sudah menyalurkan bantuan kewangan segera kepada mangsa, selain keperluan lain berikutan situasi semasa.

3. Bantuan oleh bank dan syarikat insurans

Pelbagai bank dan syarikat insurans tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas menerusi pelbagai pelan bantuan.

CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd telah memudahkan proses kepada pelanggan yang terkesan apabila mereka hanya dikehendaki memberikan maklumat asas bagi memohon pelan bantuan tersebut.

Selain itu, caj dan yuran bagi bayaran lewat untuk pelanggan yang terjejas akan diketepikan, kata CIMB Group Holdings Bhd.

“Pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat kebakaran dan mungkin memerlukan bantuan tunai tambahan sebagai tambahan kepada pelepasan pembayaran juga boleh memohon modal kerja tambahan untuk menyokong keperluan perniagaan.

“Bayaran akan dikecualikan bagi penggantian kad kredit/debit, permintaan penyata atau penggantian buku simpanan yang rosak dan cek jurubank juga,” katanya.

CIMB juga akan bekerjasama rapat dengan rakan insuransnya untuk mempercepatkan pemprosesan tuntutan insurans.

Bank Islam Malaysia Bhd pula menawarkan penangguhan ansuran bulanan hingga enam bulan bagi pelanggan pembiayaan rumah, peribadi, dan kenderaan-i Bank Islam yang terjejas akibat bencana, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Sementara itu, AmBank Group menerusi kenyataannya berkaitan pelanggan yang terjejas berkata bank itu akan membincangkan mengikut kes bagi pilihan pembayaran balik kepada pelanggan yang layak dengan kemudahan pembiayaan AmBank.

Bukan itu sahaja, sebagai tindak balas terhadap kecemasan, industri takaful juga telah melaksanakan langkah-langkah untuk memberikan bantuan segera, bimbingan dan bantuan tuntutan kepada pemegang sijil yang terjejas dan masyarakat sekitar.

Ini termasuk pemprosesan tuntutan yang pantas, prosedur tuntutan yang dipermudahkan dan bantuan di lapangan untuk membantu pemprosesan tuntutan, kata Persatuan Takaful Malaysia dalam satu kenyataan.

Cabang insurans dan takaful Maybank, Etiqa mengumumkan akan melindungi semua pelanggan insurans motor, kemalangan diri, kebakaran runcit, pemilik rumah dan isi rumah yang layak terjejas akibat insiden kebakaran di Putra Heights.

Etiqa menerusi satu kenyataan berkata ia akan mengetepikan keperluan laporan polis untuk memudahkan pemprosesan tuntutan.

4. Bantuan oleh syarikat insurans am

Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) Ng Kok Kheng berkata industri ini sedang mempercepat proses tuntutan bagi pemegang polisi insurans motor, kemalangan diri, kebakaran runcit, pemilik rumah, atau isi rumah yang layak dan terjejas akibat insiden berkenaan.

Beliau menggalakkan pemegang polisi segera menghubungi syarikat insurans masing-masing bagi mendapatkan bantuan serta panduan prosedur tuntutan dan butiran perlindungan, walaupun mereka belum pulang ke rumah.

“Bantuan disediakan melalui syarikat insurans, ejen, broker, serta platform dalam talian, seperti aplikasi Digital Roadside Assistance (DRA).

“Kami menyedari beban emosi dan kewangan yang ditanggung oleh keluarga serta pemilik perniagaan akibat kejadian tragis ini. Industri kami komited untuk memastikan proses tuntutan berjalan lancar supaya pemegang polisi mendapat bantuan yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ng berkata PIAM menjangkakan lebih banyak permohonan tuntutan apabila pemilik hartanah dan kenderaan kembali ke kawasan terjejas, dan bersedia untuk mambantu mereka dalam setiap proses yang diperlukan.

Pihak industri juga sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kerajaan, termasuk Bank Negara Malaysia serta pihak berkepentingan utama bagi memastikan bantuan kewangan dapat diberikan kepada mangsa secepat mungkin.

5. Bantuan kenderaan untuk kegunaan sementara

Syarikat automotif Chery Malaysia menyediakan sebanyak 50 kereta untuk kegunaan mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights selama sebulan, kata Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor Ng Sze Han.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara itu berkata usaha sama antara syarikat berkenaan dengan kerajaan negeri bertujuan membantu mangsa yang memerlukan kenderaan untuk ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah sepanjang tempoh mereka berdepan kesukaran ini.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan, melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mengambil langkah meringankan beban mangsa dengan membuka kaunter bergerak di PPS Masjid Putra Heights.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkhidmatan ini, yang akan berlangsung hari ini hingga esok, membolehkan mangsa menggantikan dokumen pengangkutan yang musnah atau hilang akibat insiden tersebut tanpa memerlukan laporan polis dan proses penggantian dokumen akan disiapkan dengan segera.

6. Penubuhan Pusat Pemindahan Sementara (PPS)

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diarahkan untuk membuka PPS baharu bagi menampung mangsa bencana di Putra Heights.

Justeru, mangsa yang terjejas disarankan untuk segera menghubungi pihak berkuasa berkaitan atau institusi kewangan dan insurans masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan yang tersedia dan prosedur tuntutan yang perlu diikuti.

BACA: Mohamad Sabu Minta Mangsa Kebakaran Putra Heights Buat Laporan Polis

BACA: Dua Anjing Rottweiler Serang Lima Individu Dilupuskan – Veterinar

BACA: “Hero” Operasi Padam Kebakaran Dahsyat Di Putra Heights Jadi Tumpuan

Sumber: BERNAMA

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.