Remaja Perempuan Dibunuh Anak Ahli Politik
BANGKOK — Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dibunuh oleh bekas teman lelakinya, yang juga anak kepada ahli politik berpengaruh selepas mayatnya ditemukan di sebuah sawah padi di Wilayah Chai Nat, Thailand, pada Khamis lalu, lapor The Thaiger.
Mayat remaja terbabit ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam parit oleh seorang petani tempatan sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Difahamkan, mangsa dibunuh dengan menggunakan objek tumpul berikutan terdapat kecederaan parah di kepala dan muka.
Susulan itu, pihak polis telah menahan bekas teman lelaki mangsa, 19, selepas soal siasat dilakukan terhadap beberapa kenalan mangsa termasuk ahli keluarga.
Hasil siasatan di kediaman suspek, pihak polis menemui pakaian serta motosikal yang dipenuhi dengan kesan darah dan lumpur termasuk telefon bimbit mangsa.
Suspek bagaimanapun mengaku telah membunuh mangsa sewaktu di bawah pengaruh alkohol dan motif pembunuhan disebabkan angkara cemburu melampau selepas hubungan mereka berakhir.
Terdahulu, mayat seorang remaja perempuan ditemui selepas dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya di Singgalang, Daerah Tanah Datar, Sumatera Barat.
Memetik laporan Bangkapos, mayat remaja itu ditemui dalam keadaan kakinya berlipat dan ditanam di bahagian dapur sebuah rumah.
Ketua Polis Padang Panjang, AKBP Donny Bramanto berkata, pelaku pembunuhan ini adalah kekasih mangsa yang berumur 17 tahun manakala mangsa masih berstatus pelajar sekolah menengah di Kota Padang.