Enjin Pesawat United Airlines Terbakar Selepas Langgar Arnab
Sebuah pesawat United Airlines dilapor melakukan pendaratan kecemasan selepas enjin di bahagian kanan terbakar sejurus berlepas dari sebuah lapangan terbang, lapor The Sun UK.
Juruterbang mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver selepas pesawat tersebut mengeluarkan bunyi dentuman kuat dan enjin mula terbakar ketika berada di ruang udara.
Difahamkan, pesawat jenis Boeing 737 yang membawa 159 penumpang dalam penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Edmonton telah melanggar seekor arnab.
Pesawat itu kekal di ruang udara selama 75 minit sebelum juruterbang mematikan enjin sebelah kanan selepas membuat panggilan kecemasan.
Seorang jurucakap United Airlines berkata, pesawat tersebut telah kembali ke lapangan terbang dan kami menyediakan pesawat lain untuk membawa penumpang ke destinasi mereka.
Video mengenai kejadian terbabit tular di media sosial
“Kebakaran itu berpunca daripada seekor arnab. Bangkainya terperangkap di dalam enjin selepas dilanggar pesawat yang bergerak laju di landasan,” tambah syarikat seperti yang dilaporkan dalam The Sun UK.
Rakaman insiden turut dimuat naik di laman X memaparkan para penumpang bangun dari tempat duduk untuk melihat ke luar tingkap.
Mereka kemudiannya berasa panik dan menjerit ketakutan apabila sayap pesawat mengeluarkan api.
Manakala video berasingan menunjukkan enjin pesawat United Airlines turut mengeluarkan asap hitam yang tebal sewaktu kejadian.
https://x.com/aviationbrk/status/1912568187675177355
https://x.com/ArtCandee/status/1912620405581361177
Sebelum ini, Bernama melaporkan sebuah helikopter terhempas di Sungai Hudson, New York pada Khamis mengorbankan kesemua enam orang termasuk tiga kanak-kanak, kata Datuk Bandar New York, Eric Adams.
Mangsa yang terbunuh termasuk juruterbang dan lima penumpang dipercayai merupakan satu keluarga dari Sepanyol.
Helikopter milik syarikat New York Helicopters itu berlepas pada 2.59 petang sebelum hilang kawalan dan terhempas ke dalam sungai berhampiran kawasan Lower Manhattan sekitar 3.15 petang waktu tempatan, kata pegawai berkuasa.
Pasukan penyelam dari Jabatan Polis New York (NYPD) dan Jabatan Bomba Bandaraya New York (FDNY) bertindak pantas mengeluarkan kesemua mangsa dari dalam air.
Empat daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berdekatan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan bahawa helikopter terbabit merupakan model Bell 206.
BACA: Mekanik Dedah Cara Paling Mudah Periksa “Brake Pad” Kereta
Sumber: The Sun UK