Bermula daripada keinginan seorang anak yang mahu ke taman arnab, seorang lelaki bangkit membina taman arnab pertama Melaka, meskipun pernah kehilangan modal perniagaan RM680,000 akibat pandemik.
Dengan keringat sendiri bersama keluarga, impian kecil itu akhirnya berkembang menjadi Iman Rabbit Farm yang kini dinobat sebagai taman arnab terbesar di sana.
Kehilangan perniagaan bukan noktah bagi seorang usahawan dari Melaka. Sebaliknya, ia menjadi titik mula kepada kebangkitan luar biasa.
Di sebalik kejayaan usahawan ini, tersimpan kisah jatuh bangun yang menyentuh emosi.
RM680 ribu lesap, perniagaan lama terkubur
Pengasasnya, Izzat Roslan, 35 tahun, berkongsi kisah yang tidak disangka ketika ditemu bual.

Sebelum ini, lelaki berkenaan sudahpun mempunyai perniagaan yang stabil dengan lebih 1,000 ejen dan stokis.
Namun, segalanya berubah sekelip mata.
Ketika membuat persediaan projek besar bagi musim perayaan, lelaki tersebut melabur sebanyak RM680 ribu bagi mendapatkan produk dari luar negara.
Malang tidak berbau, belum sempat menerima produk yang dipesan, negara berkenaan dilanda penyakit koronavirus 2019 (COVID-19).
Berikutan itu, penghantaran produk tertangguh, tanpa sebarang kepastian.

Apabila negara berkenaan kembali pulih, Malaysia pula sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan.
“Saya kena tanggung kos bilik penyimpanan yang tinggi untuk letak produk di sana. Kosnya dikira ikut bilangan hari.
“Akhirnya, lenyap juga la perniagaan saya selepas saya tolak semua kepada rakan untuk sambung perniagaan saya tu,” kongsinya.
Dalam kebuntuan dan kegalauan yang menghantui jiwa, inspirasi untuk memulakan perniagaan baru muncul dari satu percutian keluarga.
Ketika pulang ke kampung isteri di Sabah, lelaki tersebut membawa keluarganya ke taman arnab. Kegembiraan jelas terpampang di wajah anaknya.
Sekembalinya mereka sekeluarga ke Melaka, permintaan demi permintaan dituju kepadanya untuk kembali ke taman arnab.
Dari situ, tercetus satu idea yang berani.

Perniagaan keluarga yang dibina dari bawah
Segala sisa kudrat dan simpanannya, digunakan untuk membina sebuah taman arnab di Melaka.
Tanggal 11 Disember 2021, pembinaan taman dimulakan.
Segalanya dibangunkan dengan keringat bersama keluarga. Malah menurutnya, kedua ibu bapa lelaki berkenaan turut sama menjayakan pembinaan taman arnab itu.
“Ibu dan baba saya terbongkok-bongkok menyusun batu bata di hadapan pintu masuk Iman Rabbit Farm sehingga selesai.
“Waktu itu, halaman taman arnab tu tanah merah, jadi terpaksa susun batu supaya boleh pijak walaupun tak rata,” imbaunya.

Ketika ditanya berkenaan modal permulaan, lelaki berkenaan memberitahu bahawa wang simpanannya sendiri digunakan buat memulakan pembinaan taman arnab tersebut.
Malah, dengan penyaluran dana daripada ibu, Sapura Harun, dan bapa, Roslan Mohd Noor, taman arnab ini berjaya disempurnakan dan dibuka untuk kunjungan orang ramai pada 17 Disember 2022.
Selain daripada itu, fasa awal penubuhan sekitar 2023, taman arnab ini menerima bantuan geran Agro Tourism daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Lembaga Persatuan Peladang Negeri Melaka.
Berikutan perkembangan yang memberangsangkan, taman arnab ini turut menerima bantuan pinjaman Skim Pembiayaan Ekonomi Desa, bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia pada 2024 dan 2025.
“Bermula dengan hanya dua pekerja tetap, seorang jaga kaunter dan seorang jaga kebersihan di dalam, saya, ibu dan baba bekerja tanpa mengambil gaji di fasa awal.
“Dana yang ada sentiasa digunakan untuk tujuan pemasaran, terutama pada media sosial di samping menyertai program Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka yang aktif,” maklumnya.
Sedikit demi sedikit, taman arnab ini semakin berkembang dan kini dinobat sebagai taman arnab terbesar di Melaka.

Dari hanya memiliki pelbagai jenis arnab seperti Flemish Giant, English Angora dan Mini Rex, kini taman tersebut turut menempatkan haiwan mesra pengunjung yang lain.
Antara haiwan yang terdapat di sana termasuk rakun, meerkat, kambing pygmy dan landak mini.
Biarpun haiwan semakin bertambah, konsep taman berkenaan kekal sama iaitu haiwan dan pengunjung bergerak bebas serta dapat berinteraksi secara langsung.
Menurutnya, pengunjung taman berkenaan semakin bertambah dari hari ke hari. Pelancong dari luar negara juga sudah semakin ramai yang mengunjungi taman tersebut.

Izzat akui, melihat kanak-kanak berlari masuk ke taman merupakan sumber kekuatannya untuk teruskan perniagaan ini. Biarpun pada awal pembukaan tidak mendapat sambutan, lelaki tersebut tidak pernah terfikir untuk menyerah kalah.
Usahanya tidak terhenti setakat itu. Lelaki berkenaan sudahpun mempunyai senarai panjang perancangannya untuk masa hadapan, termasuk membuka kafe dan menyediakan tempat menyambut hari lahir.
Kisah ini membuktikan bahawa kehilangan besar tidak semestinya mengakhiri segalanya. Kadang kala, ia membuka pintu kepada kejayaan yang lebih bermakna.