“Orang Lain Panggil Ini Ujian, Saya Anggap Ini Rahmat”, Sisi Sunyi Bapa Tunggal Besarkan Anak ‘Istimewa’
Melihat anak yang membesar dengan sihat dan petah bercakap umpama satu keajaiban yang tidak terungkap.
Namun, tidak semua ibu bapa berpeluang menikmati detik indah itu tanpa ujian.
Ada yang perlu melalui perjalanan penuh cabaran, air mata dan ketabahan sejak awal kelahiran.
Harapan yang dibina bertukar menjadi persoalan tentang masa depan, tanggungjawab dan kemampuan diri.
Di sebalik senyuman seorang anak, tersimpan kisah sunyi seorang ayah yang perlu kuat sendirian.
Itulah yang dihadapi seorang bapa tunggal yang berusia 29 tahun ini, Muhammad Yassirr Hakimi.
Dunia yang dahulunya dipenuhi cahaya kehidupan, seolah-olah terhenti seketika.
Permulaan kepada segalanya
Yassirr yang dahulunya seorang yang berpotensi dalam kerjaya, memutuskan untuk berkorban segalanya demi menjaga anaknya, Muhammad Noah Yusuff Mohd Yassirr.
Kandungan yang pada mulanya cukup sifat dan sihat itu disahkan menghidap hypoxic ischemic encephalopathy (HIE).
“Masa tu, anak dah memang tidak mendapat oksigen yang cukup di otak, dan juga cedera di otaknya,” jelasnya di awal bicara.
Difahamkan, HIE boleh menyebabkan penghidapnya mengalami pelbagai kemungkinan pada masa hadapan.
Susulan keadaan itu, ketika anaknya berusia dua tahun lima bulan, doktor mengesahkan si kecil mempunyai kecacatan kekal yang dipanggil dystonia cereberal palsy.
Kredit: Yassirr HakimiSaat itu, bermulalah perjalanan yang panjang buat Yassirr.
“Saya dah tahu daripada awal, dah bersedia yang mana anak ini mungkin menjadi anak istimewa. Saya menerima dan reda akan segalanya.
“Tiada langsung perasaan sukar untuk menerima. Mind set saya block dari perkara negatif,” tegasnya.
Berbekalkan kecekalan dan fikiran yang terbuka akan segala kemungkinan, Yassirr mula mengenal pasti perkembangan diri anak seawal usia.
Ketika melihat perkembangan anak yang agak lambat berbanding bayi seusia dengannya, dia sudah dapat mengagak dan menerima sepenuhnya ketentuan Ilahi.
Bagi memastikan si kecil mendapat penjagaan yang sempurna, lelaki tersebut kini bekerja sebagai perunding takaful dan pengacara majlis sepenuh masa buat menampung kehidupan.
“Menjadi ayah tunggal tidak mudah. Selepas berhenti ketenteraan, saya bercerai dan dalam masa yang sama, menjaga anak yang istimewa.
“Tiga keadaan utama yang saya hadapi dengan cara banyak berpegang kepada ayat al-Quran, di sebalik kesusahan datangnya bersama kemudahan. Itulah janji Allah,” ujarnya.
Dugaan hidup sebagai bapa tunggal
Mengimbau kembali, hidupnya berubah seratus peratus apabila dahulunya, dia seorang yang berjaya dalam kerjaya.
Kini, dirinya bertugas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak di samping menghadiri majlis-majlis sebagai pengacara.
“Tidak mudah untuk kita menerima sesuatu tugas itu kerana segala benda perlu disusun rapi dalam kehidupan dan kerjaya saya.
“Saya mendapat jagaan penuh anak. Saya menjaga anak sebulan lebih kurang 25 hari, bekas isteri pula sekitar lima hari.
“Jadi lima hari itu je lah waktu untuk saya kerja, berjuang semaksimum mungkin 24 jam tanpa henti. Hari biasa anak tidur lima minit, lima minit tu lah saya buat kerja dalam talian,” maklum lelaki berkenaan, perlahan.
Kredit: Yassirr HakimiCabaran terbesar buat ketua keluarga
Berkongsi tentang cabaran paling besar yang dihadapinya, Yassirr akui kekangan masa amat dirasa.
Menjalankan tugas sebagai seorang bapa, hampir keseluruhan masanya diluangkan untuk bersama anak.
Berikutan itu, waktu untuk mencari rezeki begitu terhad mengakibatkan pendapatan merudum.
“Saya banyak fokus sebenarnya pada anak. Kadang-kadang kita penat, penat tak dapat nak kerja.
“Dalam masa sama, orang percayakan saya tetapi saya ada masa yang terhad,” ujarnya.
Katanya, berikutan tidak mempunyai kewangan yang kukuh, dia tidak mampu untuk mengupah pembantu peribadi (PA) bagi mengatur segala urusan kerjanya.
Begitu juga dalam mencari pengasuh yang sanggup menjaga anak istimewanya.
Namun begitu, Yassirr tetap percaya bahawa rezeki itu ketentuan Ilahi.
“Selagi ada hayat, selagi itu ada rezeki Allah. Tak pernah risau,” katanya penuh yakin.
Kredit: Yassirr HakimiLemah dan putus asa hanya rencah hidup
Meluahkan rasa yang terbuku di dada, Yassirr akui rasa lemah dan ingin berputus asa itu sering mendampinginya.
“Selalu, sebab kita seorang kan. Saya bangkit semula dengan bersujud dan berdoa kepada-Nya agar diberikan kekuatan, murahkanlah, cukupkanlah rezekiku, ya Allah,” doanya.
Ketika ditanya berkenaan urusan seharian, Yassirr berkata, disebabkan anaknya yang berusia dua tahun 10 bulan itu masih belum mampu menguruskan diri, dia perlu sentiasa bersedia.
Setiap pergerakan anaknya sentiasa memerlukan pelukan kuat seorang bapa.
Dalam menghadapi telatah anak kecilnya, dia sedar, perlu banyak bersabar dan beristighfar bagi menjaga mental serta emosinya.
“Mental dan emosi saya perlu dijaga, tak boleh diganggu dengan perkara lain selain daripada anak saya. Benda ni akan beri kesan pada anak saya.
“Walaupun ada rasa tertekan dengan urusan kerja atau benda lain, saya tak boleh nak masukkan dalam hati sebab saya kena fokus kepada anak saya.
“Anak saya perlukan penjagaan saya,” luahnya sambil menahan sebak.
Kredit: Yassirr HakimiUjian buat yang memandang, rahmat buat yang memikul
Mengulas lanjut tentang usahanya dalam kekal cekal menghadapi ujian ini, Yassirr melontarkan kata-kata yang tidak disangka.
“Itulah dia. Saya tak anggap ini ujian yang begitu berat. Orang lain mengatakan ini ujian, saya panggil ini rahmat.
“Keadaan ini merupakan cara Allah nak tarik saya untuk lebih dekat dengan Dia. Ladang pahala untuk saya terus berjuang. Ladang pahala untuk saya dapat syurga-Nya.
“Tak semua orang dapat peluang ini,” jelasnya sambil tersenyum.
Sebelum menamatkan perbualan, lelaki tersebut meluahkan harapan agar satu hari nanti, anak yang ditatang bagai minyak yang penuh ini tahu dirinya ada dalam setiap langkah.
“Andai kata satu dunia tidak memandangnya, saya tetap ada untuk dia sehingga akhir usia.
“Walaupun orang memandang rendah padamu, tidak bagi daddy. Dengan pengharapan agar anak ini menjadi anak yang soleh, boleh menarik daddy ke syurga,” ucapnya.