Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Buka Cerita Soal Ibu Bapa Istimewa, Luahan Anak Runtun Hati Ramai
Baru-baru ini, satu perkongsian menyentuh hati tular di Threads apabila seorang wanita berkongsi kisah hidupnya dibesarkan oleh ibu bapa OKU cacat penglihatan. Coretan ringkas itu berjaya menarik perhatian ramai, membuatkan ramai sebak.
Wanita ini menceritakan bagaimana dia sudah lali dengan soalan yang sering ditanya orang sejak kecil, termasuk ketika menghadiri temu duga kerja.
Apabila penemuduga mengetahui ibu bapanya buta, soalan yang sama kembali dilontarkan.
Macam mana mak ayah awak besarkan awak, ya? Macam kesiannya ya, mak ayah awak tak nampak muka awak semua. Ish, kesianlah...
Katanya, dia hanya diam mendengar pertanyaan itu. Bukan kerana marah, apatah lagi berkecil hati. Berkongsi jawapan yang diberikan, kata-kata wanita ini dirasakan cukup tepat 'kena' di hati.
"Orang buta walaupun matanya buta tapi hatinya celik. Mak saya selalu je raba muka saya, belai rambut saya, tengok saya dengan mata hatinya.
"Abah saya sebelum saya keluar, dia pegang tangan baju saya tengok singkat atau tidak. Pegang kasut saya nak pakai tengok koyak atau tidak.
"Entahlah, saya rasa Mak Abah saya normal je macam orang lain. Cuma mata je tak nampak," katanya, berkongsi jawapan kepada persoalan ramai itu.
Lebih mengagumkan, wanita ini berkongsi keadaan bagaimana dibesarkan oleh dua insan istimewa yang hebat ini.

Menurutnya, kedua-dua ibu bapanya merupakan pesara kerajaan dan pernah berkhidmat masing-masing sebagai operator telefon dan jurutengkas.
Tambahnya, ayahnya juga seorang penulis prolifik, menghasilkan novel, cerpen, drama radio dan televisyen, serta teater.
Antara pencapaian terbesar ayahnya ialah diiktiraf sebagai Tokoh Penulis Novel Remaja Negeri Sembilan. Malah, novel hasil tulisan ayahnya pernah dijadikan bahan bacaan di sekolah.

Menariknya, setiap kali sebelum manuskrip dihantar ke penerbit, wanita inilah pembaca terakhir karya ayahnya. Menyemak, membetulkan dan membacakan semula hasil tulisan ayahnya.
"Komputer Abah I ada je suara. Tapi suara omputeh baca karya Melayu. Abah I kata tak feel. Dia suka I baca sebab I suka buat intonasi suara," kongsinya.
Tambahnya, ibunya pula mempunyai hobi mengait. Dengan benang Minlon, ibu menghasilkan alas meja dan alas televisyen.
Setiap kali anak-anak berkahwin, ibu akan mengaitkan alas khas untuk rumah baru mereka.
Malah, ibunya juga gemar "shopping" dan mengembara bersama rakan-rakan ke luar negara.
"Dia boleh pergi ikut rombongan kawannya ke Indonesia. Seronok eh berjalan sorang. Macam nampak je, tu ayat I, ngusik Mak..." katanya berseloroh.
Hasil didikan ibu bapa yang dianggap 'tidak sempurna' oleh sesetengah orang, keempat-empat anak perempuan mereka berjaya menamatkan pengajian tinggi.
Kongsinya, kakak sulung kini bekerja sebagai Eksekutif Kewangan, manakala kakak kedua pula merupakan seorang pensyarah yang kini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana.
Wanita itu sendiri berkecimpung dalam bidang perakaunan, sementara adik bongsu berkhidmat sebagai seorang radiografer.
Dalam hantaran berasingan, wanita ini berkongsi kedua-dua ibu bapanya kini telah pergi. Ayahnya meninggal dunia dalam tidur pada tahun 2009, ibunya pula menyusul tahun lalu selepas mengalami strok.
"Rindu sangat kat Mak Abah sebenarnya. Sebab tu I saja menulis pasal Mak Abah...," tulisnya.

Al-Fatihah buat mereka yang telah melahirkan anak-anak luar biasa dengan kasih sayang yang luar biasa.
Semoga kisah ini menjadi peringatan buat kita semua bahawa kebahagiaan dan kejayaan anak-anak tidak diukur melalui kekurangan yang dimiliki ibu bapa.
Sebaliknya, lahir daripada kasih sayang, pengorbanan dan didikan yang mereka curahkan tanpa jemu.