Pernah Hilang Rumah & Terpisah Dengan Keluarga, Kisah Umayal Eswaran Bela Anak Istimewa Jadi Inspirasi
“Bagi saya, ‘kejayaan’ ialah apabila seorang kanak-kanak yang sebelum ini tidak boleh bercakap akhirnya menyebut perkataan pertama. Kejayaan juga bermakna melihat wajah ibu bapa yang gembira apabila anak mereka, yang pernah ditolak oleh banyak sekolah, akhirnya menemui tempat yang menerima mereka.”
Itulah tafsiran kejayaan menurut Pengerusi Yayasan RYTHM merangkap Pengasas Sekolah Taarana, Umayal Eswaran.

Siapa sangka, wanita yang menjadi tulang belakang kepada sebuah pusat khas untuk anak-anak istimewa ini pernah melalui detik di mana beliau sendiri kehilangan hampir segalanya. Rumah, rasa selamat dan dunia yang selama ini dikenali.
Pernah membesar dalam kehidupan serba sempurna sebelum diuji berat, beliau bangkit dengan semangat luar biasa, membina harapan dan peluang bagi golongan yang sering dipinggirkan masyarakat.
Membesar dalam keluarga ‘serba lengkap’, cara hidup bentuk diri hari ini
Dilahirkan dan dibesarkan di Colombo, Sri Lanka, Umayal Eswaran menggambarkan zaman kanak-kanaknya sebagai satu fasa kehidupan yang indah dan penuh makna.
Boleh dikatakan, kehidupan awalnya adalah ‘serba lengkap’. Bukan sekadar dari segi material, tetapi lebih kepada kasih sayang, perhatian dan nilai-nilai yang diwarisi daripada keluarganya.
Mengimbau kenangan lama, Umayal Eswaran berkongsi tentang sosok ayah yang menjadi teladan besar dalam hidupnya.
“Ayah saya seorang ahli perniagaan. Perkara yang paling jelas dalam ingatan saya tentang rumah kami ialah pintu hadapannya jarang sekali ditutup.
“Ketika masih kecil, saya tidak memahami mengapa begitu ramai orang datang untuk meminta bantuannya, namun kini saya menyedari makna sebenar ‘dasar pintu terbuka’ itu,” kongsinya.
Menurut Umayal Eswaran, tindakan ‘kecil’ ayahnya itulah yang membentuk pandangan hidupnya secara keseluruhan.
“Ayah tidak pernah bercakap besar tentang kebaikan yang dilakukan. Ayah hanya memastikan pintu sentiasa terbuka untuk mereka yang memerlukan.
“Ayah juga mengajar saya bahawa membantu orang lain bukan sekadar memberi dari jauh. Tetapi turun ke lapangan, memahami kehidupan mereka dan hadir bersama mereka,” kongsinya.

Tambah Umayal Eswaran, peranan ibunya juga sangat penting dalam membentuk peribadi beliau. Selain menjadi ‘penyokong kuat’ ayahnya, ibu ialah sosok teladan terbaik untuk anak-anak.
“Ibu memastikan setiap orang yang melangkah masuk ke rumah kami, pada bila-bila masa sekalipun, akan dihidangkan dengan makanan panas.
“Ibu melayan semua pembantu rumah seperti ahli keluarga dan menegaskan agar kami anak-anak memanggil mereka dengan panggilan hormat seperti ‘Akka’ (kakak) atau ‘Annai’ (abang),” kongsinya.
Melalui didikan ini, Umayal Eswaran belajar nilai empati, tanggungjawab dan belas ihsan.
Beliau menyerap budaya yang menekankan pentingnya menghormati setiap individu, tidak kira pangkat atau latar belakang.
Persekitaran yang hangat inilah menjadikan Umayal Eswaran seorang yang menghargai hubungan manusia dan memahami bahawa setiap tindakan kecil boleh memberi kesan besar kepada kehidupan orang lain.
Hilang segalanya dalam sekelip mata
Namun, ketenangan itu tidak kekal lama. Umayal Eswaran membesar ketika kemuncak perang saudara di Sri Lanka, di tengah-tengah Colombo, sebagai sebahagian daripada komuniti minoriti Tamil.
Apabila konflik meletus pada awal 1980-an, ia mengubah lebih daripada sekadar negara. Ia merobek rasa selamat dan menghancurkan dunia sebuah keluarga.
“Apa sebenarnya yang kita bayangkan tentang sebuah perang? Ia bukan seperti cerita dalam filem yang ditonton di televisyen. Hakikatnya, perang jauh lebih menakutkan.
“Bagi keluarga saya, kesannya datang dengan sangat pantas dan amat memusnahkan. Kami kehilangan rumah. Perniagaan ayah saya musnah.
“Dalam sekelip mata, kehidupan yang dibina oleh ibu bapa saya dengan penuh harapan hilang begitu sahaja,” kongsinya.
Lebih menyayat hati, pada usia yang masih terlalu muda, Umayal Eswaran terpaksa ‘dipisahkan’ dengan keluarga tercinta. Bukan kerana pilihan tetapi kerana keadaan yang memaksa.
“Bersama keluarga, kita biasanya berasa selamat walau apa pun keadaan. Namun ketika itu, saya terpaksa dihantar jauh dari keluarga demi mendapatkan rasa selamat itu.
“Demi keselamatan, saya dihantar ke sekolah berasrama di India, terpisah daripada keluarga, rumah dan segala yang saya kenali, pada usia yang masih terlalu muda untuk memahami dunia,” kongsinya sebak.

Bertahun-tahun kemudian, perjalanan hidup Umayal Eswaran membawanya meninggalkan tanah kelahiran. Beliau meninggalkan Sri Lanka pada awal tahun 1990-an selepas bertemu dan berkahwin dengan suaminya.
“Selepas berkahwin, Malaysia telah menjadi rumah saya selama lebih tiga dekad,” tambahnya.
Dengan sokongan suami, dari seorang anak kecil yang pernah hilang rasa selamat, Umayal Eswaran akhirnya membina semula sebuah kehidupan baharu.
“Kesan emosi daripada tahun-tahun itu tidak pernah hilang…” – Umayal Eswaran
Menurut Umayal Eswaran, tempoh getir itu meninggalkan kesan yang tidak pernah benar-benar hilang. Namun, daripada kesakitan itulah, tumbuh sesuatu yang lebih besar.
“Kesan emosi daripada tahun-tahun itu tidak pernah hilang. Tetapi ia juga menjadi asas yang mengajar saya untuk berdiri lebih teguh, memimpin dengan empati dan mewujudkan rasa selamat untuk orang lain seperti yang pernah saya dambakan suatu ketika dahulu,” katanya.
Daripada seorang anak yang pernah kehilangan tempat bergantung, Umayal Eswaran kini menjadi tempat bergantung kepada ramai. Khususnya, anak-anak istimewa dan ibu bapa yang hampir berputus asa.
Dari situlah perjuangannya benar-benar dirasakan bermula.
Bangkit beri ‘rasa selamat’ pada anak istimewa
Pengalaman hidup yang memaksa Umayal Eswaran meninggalkan rumah dan berpisah daripada keluarga pada usia terlalu muda meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya.
Rasa tidak selamat, terasing dan seolah-olah ‘tidak mempunyai tempat’ itu menjadi luka yang beliau fahami dengan amat peribadi.
Perasaan yang sama, menurut Umayal Eswaran, sering dialami oleh kanak-kanak berkeperluan khas. Tersisih, tidak difahami dan dinafikan peluang untuk hidup seperti orang lain.
Daripada pengalaman itulah, lahir keazaman untuk memastikan tiada kanak-kanak lain melalui kesunyian dan penolakan yang pernah beliau rasai.

“Apa yang saya mahukan ialah memberi peluang kepada kanak-kanak ini untuk keluar dan menjalani kehidupan. Saya mahu mereka menjadi sebahagian daripada masyarakat, bukannya terus dipinggirkan.
“Mereka memiliki kekuatan untuk mengatasi cabaran dan menerima pengalaman baharu bagi mencipta sesuatu yang indah, sama ada dalam bidang muzik atau bidang lain.
“Saya sentiasa percaya bahawa setiap individu mampu belajar dan mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan serta menikmati kehidupan sepenuhnya,” katanya.
Kenangan pahit mencari tempat untuk merasa diterima suatu ketika dahulu turut membuka mata Umayal Eswaran terhadap realiti yang dihadapi ramai ibu bapa kepada anak-anak istimewa. Terkapai-kapai mencari ruang yang sanggup menerima anak mereka seadanya.
Pintu Sekolah Taarana akhirnya dibuka
Bagi Umayal Eswaran, membuka Sekolah Taarana bukan sekadar mendirikan sebuah institusi pendidikan. Ia adalah usaha mencipta ruang yang suatu ketika dahulu beliau sendiri cari, tempat yang memberi rasa selamat, diterima dan difahami tanpa syarat.
Kenangan meninggalkan rumah dalam ketakutan dan hidup terpisah daripada keluarga membuatkan beliau amat memahami betapa pentingnya sebuah persekitaran yang stabil, mesra dan penuh empati. Ini khususnya buat kanak-kanak yang rapuh secara emosi dan perkembangan.

“Harapan saya ringkas tetapi mendalam: untuk membuktikan bahawa dengan sokongan yang tepat, kanak-kanak ini mampu belajar, berkembang dan menjadi anggota masyarakat yang menyumbang. Saya mahu ibu bapa berasa difahami dan disokong, bukan dihakimi atau dibiarkan keseorangan.
“Saya juga berharap Taarana dapat menjadi contoh kepada kerajaan tentang apa yang boleh dicapai apabila pelaburan yang sewajarnya dibuat dalam pendidikan khas,” katanya.
Ujarnya, setiap perubahan kecil di Taarana menjadi pengesahan bahawa keputusan untuk membuka pintu itu adalah tepat. Detik-detik inilah yang sentiasa mengingatkannya mengapa beliau memilih untuk terus bertahan, meskipun berdepan cabaran demi cabaran.
“Apabila seorang kanak-kanak bukan verbal tiba-tiba menyebut perkataan pertamanya, apabila seorang pelajar yang sukar duduk diam mampu memberi tumpuan selama 30 minit atau apabila seorang kanak-kanak yang pernah dibuang dari tiga buah sekolah akhirnya menemui kejayaan di Taarana.
“Detik-detik inilah yang mengingatkan saya mengapa kami melakukan semua ini,” katanya.
Luka lama, janji baru
Di sebalik kejayaan demi kejayaan hari ini, Umayal Eswaran tidak pernah melupakan gadis kecil yang suatu ketika dahulu terpaksa meninggalkan rumahnya dalam ketakutan.
Beliau membawa luka itu bersama tetapi bukan sebagai beban, sebaliknya sebagai peringatan. Peringatan bahawa dunia boleh berubah dalam sekelip mata, dan apabila ia berubah, hanya empati yang mampu menyelamatkan manusia daripada hilang kemanusiaan.
“Apa yang saya lalui mengajar saya satu perkara. Jika kita pernah merasa tidak selamat, jangan biarkan orang lain melalui perasaan yang sama,” katanya.
Di sebalik kejayaan demi kejayaan yang diraikan hari ini, Umayal Eswaran tidak pernah melupakan gadis kecil yang suatu ketika dahulu terpaksa meninggalkan rumahnya demi keselamatan.
“Rasa takut itu tidak pernah hilang. Tapi ia akan terus hidup dalam setiap keputusan yang dibuat, setiap pintu yang dibuka dan setiap kanak-kanak yang diterima di Taarana,” katanya.

Daripada janji itulah, ujarnya, Sekolah Taarana terus berdiri. Bukan sekadar sebagai sekolah, tetapi sebagai rumah kedua buat mereka yang selama ini hanya mencari satu perkara – rasa diterima dan dilindungi.