Kedai “Hanbok” Di Korea Sediakan Pilihan Hijab Untuk Muslimah, Tuai Pujian
Setiap negara di dunia pasti memiliki budaya dan identitinya yang tersendiri, tidak kira dari segi makanan, adat resam mahupun pakaian tradisional.
Malaysia, misalnya, cukup terkenal dengan pakaian tradisional pelbagai kaum seperti baju Melayu, baju kurung, cheongsam dan juga sari. Ia bukan sekadar pakaian, bahkan simbol kebanggaan dan warisan budaya.
Begitu juga dengan Korea Selatan yang terkenal dengan pakaian tradisional mereka yang cukup ikonik iaitu hanbok.
Pakaian ini bukan sahaja digemari oleh penduduk tempatan, malah menjadi tarikan kepada pelancong dari serata dunia.
Setiap kali seseorang melancong ke Korea, pastinya peluang untuk mencuba dan bergambar dengan memakai hanbok tidak akan dilepaskan.
Namun begitu, bagi pelancong Muslimah yang berhijab, pengalaman mencuba hanbok ini kadangkala boleh menjadi sedikit mencabar.
Hal ini kerana pilihan warna hijab yang sesuai dengan hanbok sering kali terhad, apatah lagi jika kedai tidak menyediakan padanan yang serasi.
“Daehon Hanbok” tampil berbeza, muslim-friendly
Menyedari perkara ini, sebuah kedai hanbok di Korea Selatan yang dikenali sebagai Daehan Hanbok telah mencuri perhatian ramai apabila mengambil inisiatif menyediakan pilihan hijab untuk pelanggan Muslimah mereka.
Tindakan ini telah dikongsikan menerusi sebuah video di laman TikTok rasmi mereka, dan sejak itu, ia telah meraih pujian daripada ramai dari seluruh dunia.
Menerusi video tersebut, wakil dari Daehan Hanbok menjelaskan bahawa mereka kini telah menyediakan pelbagai pilihan hijab dalam warna-warna menarik yang boleh digayakan bersama hanbok.
“Kalau kamu datang ke Daehan Hanbok, kamu boleh lihat pelbagai hijab cantik dalam pelbagai warna tersedia.
“Kami sediakan hijab-hijab ini kerana kami perasan para pelanggan Muslimah kami cuba padankan warna hijab mereka dengan hanbok yang dipilih.
“Kami juga pernah nampak ada pelanggan yang berharap untuk mendapatkan hijab dalam warna tertentu, tetapi waktu itu kami tak ada pilihan tersebut,” katanya.
Lebih menarik, mereka turut memaparkan mannequin yang mengenakan hijab di kedai mereka.
@daehan_hanbok Assalamualaikum🌸 Match your Hanbok with to hijab color when you rent with us at Daehan Hanbok ✨ Now available on the second floor ✌🏻 #daehanhanbok #korea #thingstodoinseoul #seoultravels #hanbok #hanbokexperience
Sambutan hangat daripada netizen
Langkah kecil yang diambil oleh Daehan Hanbok ini ternyata memberi impak yang besar.
Ruangan komen video tersebut dibanjiri dengan pujian dan ucapan terima kasih daripada netizen.
“Saya bukan Muslim, tapi melihat keprihatinan dan keterbukaan macam ni buat saya rasa lebih yakin nak ke Daehan Hanbok,”
“Terima kasih kerana ambil kira hal-hal kecil seperti ini. Ia mungkin nampak remeh bagi orang lain, tapi bagi pelancong Muslimah, ia sangat bermakna,”
“Ini sangat mengagumkan. Saya dulu nak pakai hanbok warna pink lembut, tapi terpaksa pakai hijab warna hitam dan oren sebab susah nak padankan. Terima kasih sangat-sangat,”
“Dalam dunia yang semakin penuh kebencian dan perpecahan, tindakan kecil sebegini yang boleh buat orang rasa diterima dan disayangi. Semua rasa dialu-alukan,”
Satu contoh positif dalam industri pelancongan
Tindakan ini merupakan contoh terbaik bagaimana sesebuah perniagaan boleh memperluaskan daya tarikan mereka.
Dalam dunia pelancongan global yang semakin pesat, sikap terbuka seperti ini bukan sahaja menonjolkan nilai murni masyarakat.
Malah, ia turut mempamerkan bahawa industri pelancongan boleh menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat di seluruh dunia.
BACA: Warga Maya ‘Heboh’, Ketebalan Asfalt Di China Cecah 40cm
BACA: Meraung Rangkul Anak Tidak Bernyawa, Coretan Si Ayah Undang Hiba
BACA: Hadap Jem Sebab Kemalangan, Tak Sangka Rupanya Keluarga Sendiri
Sumber: TikTok @daehan_hanbok