Lelaki Kongsi Rakaman Dron Papar Situasi Banjir Di Sungai Buloh
Sebuah rakaman dron yang memaparkan situasi banjir kilat di Sungai Buloh telah menarik perhatian ramai di media sosial selepas dimuat naik menerusi akaun TikTok @manburgerlava.
“Banjir kali ini lebih teruk berbanding tahun 2022. Semoga semua yang terlibat dipermudahkan urusan. Bertabahlah semua,” kata individu berkenaan dalam kapsyen video tersebut.
Rakaman berkenaan memberikan gambaran jelas mengenai kesan banjir kilat terhadap kediaman dan infrastruktur di kawasan terjejas.
Melalui video itu, dapat dilihat air banjir melimpah hingga menenggelami jalan raya, menyebabkan beberapa laluan utama tertutup.
Sebilangan besar kenderaan dilihat diparkir berderet di kawasan yang masih kering.
Selain itu, beberapa penduduk juga kelihatan menyelamatkan kenderaan dan harta benda masing-masing daripada terjejas.
@manburgerlava Banjir kali ni agak besar teruk dari tahun 2022 lagi. Moge semua yang terlibat dipermudahkan urusan . Bertabah la ye semua. #banjirsungaibuloh #banjirkubugajah #kubugajah
Sejak awal pagi tadi, media sosial dipenuhi dengan laporan dan gambar keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Selangor susulan hujan lebat berterusan.
Beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir kilat
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, antara kawasan yang terjejas ialah Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Subang Jaya.
Sejumlah 86 rumah dilaporkan terkesan setakat ini, namun tiada pemindahan mangsa dilaporkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh, sebanyak 80 buah rumah telah dinaiki air dengan paras air mencecah tiga kaki. Walau bagaimanapun, paras air dilaporkan semakin surut.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia turut memaklumkan mengenai kejadian banjir kilat yang berlaku di Persimpangan Shah Alam pagi ini.
Laluan dari Plaza Tol Shah Alam (ELITE) ke TTDI Jaya dan Shah Alam terhalang sepenuhnya, menyebabkan trafik dialihkan ke Persimpangan Bukit Jelutong Sentral.
Bagi laluan dari Bukit Jelutong ke Plaza Tol Shah Alam (ELITE), hanya lorong kiri yang masih boleh dilalui. Keadaan trafik dilaporkan sesak di kedua-dua arah.
BACA: Rasa Nostalgia: Parkview Cafe Memperkenalkan Tiffin Tales Dengan Cita Rasa Warisan Malaysia
BACA: Dua Dari Tiga Pemain Malaysia Tidak Sertai Asean All Stars
BACA: Malaysia Airlines Kini Jenama Syarikat Penerbangan Paling Pesat Berkembang Di Dunia
Sumber: TikTok @manburgerlava