Siakap Keli
Kelebihan Tingkatan Enam
Gambar: Bernama

Ini Yang Perlu Anda Tahu Tentang Kelebihan Tingkatan Enam

Ini Yang Perlu Anda Tahu Tentang Kelebihan Tingkatan Enam

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan pada Khamis, 24 April lalu, menyaksikan ramai lepasan SPM memperolehi keputusan yang membanggakan.

Sudah tentu, ramai lepasan SPM sudah berkira-kira untuk melanjutkan pengajian di peringkat seterusnya.

Seperti yang kita tahu, terdapat banyak pilihan bidang pendidikan di dalam dan luar negara yang boleh diikuti oleh pelajar selepas menamatkan pengajian di peringkat menengah.

Antaranya peringkat Diploma dan Matrikulasi yang menjadi kebiasaan untuk lepasan SPM menginjak ke alam gading.

Tidak dilupakan, Tingkatan Enam merupakan salah satu laluan pendidikan terbaik lepas menengah yang ditawarkan di dalam negara. 

Sebenarnya, masih ramai yang tidak mengetahui program pembelajaran ini mempunyai pelbagai kelebihan.

Bertepatan dengan pasca keputusan SPM, SK kongsikan antara kelebihan yang ditawarkan di Tingkatan Enam di bawah.

Apa itu Tingkatan Enam?

Tingkatan Enam atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) merupakan salah satu laluan pendidikan lepas menengah yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ia memberikan peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi serta membina asas kukuh dalam bidang akademik dan sahsiah.

Jom ketahui beberapa kelebihan yang ada pada program pengajian Tingkatan Enam di bawah;

Laluan Ke Universiti Awam dan Swasta

Tahukah anda, pelajar yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebenar setaraf dengan program pengajian A-Level yang lain.

STPM diiktiraf oleh institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa, yang membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan swasta di dalam dan luar negara.

Perkara ini yang menjadikan Tingkatan Enam sebagai salah satu pilihan yang sesuai bagi pelajar yang bercita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

Kurikulum Modular dan Seimbang

Kurikulum Tingkatan Enam direka secara modular, yang membolehkan pelajar mendalami subjek secara berfasa dan sistematik.

Pendekatan ini membantu pelajar menyesuaikan diri dengan beban pembelajaran yang lebih tersusun, serta memberi ruang untuk penguasaan topik secara mendalam.

Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada pelbagai aktiviti kokurikulum yang membentuk sahsiah dan kepimpinan seperti Kelab Persatuan, Sukan dan Permainan, dan Badan Beruniform. ​

Kos Pengajian yang Rendah

Selain itu, menariknya tentang Tingkatan Enam ini ialah kos pengajiannya yang rendah berbanding program pra-universiti lain seperti matrikulasi atau A-Level swasta.

Untuk pengetahuan, yuran pengajian di sekolah kerajaan adalah minimum, dan pelajar juga layak memohon bantuan kewangan seperti biasiswa atau dermasiswa yang disediakan oleh kerajaan dan agensi berkaitan.

Bahkan yuran peperiksaan bagi empat atau lima mata pelajaran adalah percuma bagi calon Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan​. ​

Pengiktirafan Antarabangsa

Seperti yang disebutkan di atas, STPM diiktiraf oleh banyak universiti di luar negara, termasuk di United Kingdom, Australia, dan New Zealand.

Perkara ini sudah tentunya membuka peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke institusi antarabangsa tanpa perlu mengambil peperiksaan tambahan, menjadikan Tingkatan Enam sebagai platform yang kompetitif di peringkat global.

Tempoh Pengajian Yang Singkat

Tempoh pengajian Tingkatan Enam adalah selama satu setengah tahun, yang terdiri daripada tiga semester.

Tidak seperti pengajian diperingkat diploma yang biasanya mempunyai 5 semester, tempoh di Tingkatan Enam ini dianggap sesuai bagi pelajar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran pra-universiti, serta memberi masa yang mencukupi untuk persediaan menghadapi peperiksaan STPM.​

Secara ringkasnya, Tingkatan Enam menawarkan laluan pendidikan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan selain menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan  di peringkat pengajian tinggi dan seterusnya dalam kerjaya mereka.

Oleh itu, Tingkatan Enam juga merupakan salah satu pilihan yang terbaik untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah. 

Untuk maklumat lanjut mengenai program Tingkatan Enam dan syarat kemasukan boleh layari portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia di sini.

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia

BACA: 5 Negara IQ Tertinggi & Terendah

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.