Senarai Negara Yang Tak Sambut Hari Pekerja Pada 1 Mei
Hari Pekerja Antarabangsa, atau lebih dikenali sebagai May Day, disambut pada 1 Mei di lebih 160 negara.
Sambutan ini bertujuan memberi penghormatan dan memperingati peristiwa perjuangan pekerja yang berlaku pada 1 Mei 1886.
Disebabkan itu, 1 Mei menjadi tarikh keramat, tanda penghargaan kepada semua pekerja di seluruh negara sebagai cuti umum.
Tapi, pernah tak anda terfikir adah atau tidak negara yang tidak menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei?
Sebenarnya ada. Terdapat beberapa negara yang tidak menyambutnya pada tarikh ini. Sebaliknya memilih untuk menetapkan tarikh lain yang lebih sesuai dengan konteks sejarah dan budaya mereka.
Jadi, SK hari ini akan berkongsi senarai negara yang tidak menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei di bawah.
Amerika Syarikat
Walaupun Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam sejarah gerakan buruh, negara ini tidak menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei.
Sebaliknya, Hari Pekerja disambut pada Isnin pertama bulan September.
Keputusan ini dibuat pada tahun 1894 selepas insiden mogok Pullman di mana kerajaan persekutuan ingin mengasingkan sambutan buruh daripada gerakan sosialis yang semakin berkembang di Eropah.
Kanada
Selain Amerika Syarikat, Kanada juga menyambut Hari Pekerja pada Isnin pertama bulan September.
Tradisi ini bermula pada tahun 1872 apabila pekerja di Toronto berarak menuntut pengiktirafan kesatuan sekerja dan hak bekerja lapan jam sehari.
United Kingdom
Di United Kingdom, 1 Mei bukanlah cuti umum persekutuan. Sebaliknya, negara ini menyambut Early May Bank Holiday pada Isnin pertama bulan Mei.
Walaupun terdapat usaha sejak abad ke-19 untuk menjadikan 1 Mei sebagai cuti rasmi bagi pekerja, ia belum mendapat pengiktirafan penuh.
Ireland
Selain UK, Ireland juga tidak menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei. Sebaliknya, negara ini menetapkan Isnin pertama bulan Mei sebagai cuti umum.
Ia dikenali sebagai May Day Bank Holiday, yang lebih menumpukan kepada perayaan musim bunga daripada penghormatan kepada pekerja.
Australia
Tahukah anda, Australia menyambut Hari Pekerja pada tarikh yang berbeza-beza mengikut negeri.
Sebagai contoh, di Queensland dan Wilayah Utara, ia disambut pada Isnin pertama bulan Mei, manakala di Victoria dan Tasmania, ia disambut pada Isnin kedua bulan Mac.
Tarikh-tarikh ini dipilih berdasarkan sejarah tempatan perjuangan pekerja untuk hari kerja lapan jam.
New Zealand
Sementara itu, New Zealand menyambut Labor Day pada Isnin keempat bulan Oktober, memperingati perjuangan pekerja untuk hari kerja lapan jam yang bermula pada tahun 1840-an.
Tarikh ini dipilih untuk menghormati pencapaian tersebut dan berbeza daripada sambutan 1 Mei di negara lain.
Jepun
Di Jepun, Hari Pekerja tidak disambut pada 1 Mei seperti di kebanyakan negara lain.
Sebaliknya, Jepun mempunyai cuti umum yang dikenali sebagai Hari Kesyukuran Buruh (Kinrō Kansha no Hi), yang disambut setiap tahun pada 23 November.
Sumber: The Economic Times, Gulf News, AS USA, Latestly.com