Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

1 Mei Penuh Makna, Ketahui Sejarah Di Sebalik Hari Pekerja
Setiap tahun, 1 Mei merupakan hari cuti yang diberi kepada setiap pekerja bagi meraikan Hari Pekerja atau Hari Buruh. Hari istimewa ini disambut hampir di seluruh dunia serentak kecuali beberapa negara yang memilih untuk meraikan Hari Pekerja pada tarikh yang lain.
Hari Pekerja disambut sebagai tanda penghargaan kepada penat lelah para pekerja, sama ada anda terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pembentukan masyarakat dan ekonomi setempat.
Biarpun begitu, adakah hari cuti yang diberi ini semata-mata atas dasar penghargaan sahaja? Sudah tentu tidak. Ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada para pekerja tentang hak mereka. Malah, pengiktirafan ini sebagai satu inspirasi dalam menyediakan persekitaran dan keadaan yang lebih baik sebagai jalan membantu pekerja maju dalam kerjaya mereka.
Pasti anda tertanya-tanya, siapakah yang memulakan tradisi memberikan hari cuti kepada pekerja 1 Mei ini? Bagaimanakah pengisytiharan ini ditetapkan dan apakah sejarah di sebalik asal usul pemilihan tarikh ini? Apakah pula hak pekerja yang dimaksudkan di sini?
Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, mari ikuti sedikit perkongsian SK mengenai Hari Pekerja yang disambut di peringkat antarabangsa serta dalam negara.
Sebelum abad ke-19, Hari Pekerja masih belum lagi wujud. Ketika itu, pekerja buruh dikerah sehabisnya, tidak seperti hari ini. Mereka terpaksa bekerja sehingga 16 jam sehari. Malah, ada juga yang bekerja sehingga 19 jam sehari tanpa diberikan cuti. Disebabkan tiada kawalan kerajaan, sistem kapitalis mula mengeksploitasi wanita dan kanak-kanak menjadi buruh.
Berikutan itu, pada tahun 1886, sebuah gerakan yang memperjuangkan hak buruh di Amerika Syarikat memilih untuk mengadakan mogok besar-besaran di seluruh negara bertarikh 1 Mei. Mogok tersebut diadakan di Haymarket Square, Chicago. Gerakan itu kini dikenali dengan nama Persekutuan Buruh Amerika AFL-CIO.
Bermula 1 Mei, para aktivis mengadakan mogok selama beberapa hari. Namun, malang tidak berbau. Mogok yang pada awalnya tidak melibatkan sebarang serangan bertukar menjadi medan berdarah. Pihak polis ketika itu didakwa mula menyerang buruh yang sedang mogok berdekatan kilang McCormick Reaper. Hari berikutnya, sekali lagi pertumpahan darah berlaku ketika sebuah mesyuarat diadakan di Haymarket Square. Campur tangan pihak polis dikatakan menyebabkan ramai yang terkorban.
Menurut profesor Sejarah, Peter Linebaugh, ketika kekecohan berlaku, terdapat kejadian letupan bom yang tidak diketahui sasarannya, sama ada terhadap orang awam atau pihak polis.
“Susulan itu, lapan individu dihadapkan ke mahkamah kerana didapati bersalah bersubahat dalam pembunuhan. Biarpun tiada bukti kukuh yang mengaitkan mereka dengan bom berkenaan dan kempen menyelamatkan mereka diadakan di England, Eropah dan Mexico, empat daripada tertuduh tetap dihukum gantung,” ujar beliau.
Pada tahun 1890, Presiden United Brotherhood of Carpenters and Joiners of America (UBC), Peter J McGuire mengadakan satu lagi mogok dan berjaya mendapatkan hak bekerja lapan jam sehari bagi kira-kira 28,000 ahli persekutuan.
Bagi menghormati pekerja di Chicago, Persidangan Sosialis Antarabangsa mengisytiharkan 1 Mei sebagai “May Day” sebagai hari cuti pekerja.
BACA: ILI Muncul Lagi, Ketahui Siapa Berisiko Tinggi Dijangkiti
Walaupun 1 Mei diisytiharkan sebagai Hari Pekerja Sedunia, tidak semua negara menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei.
Di Amerika Syarikat sendiri, Hari Pekerja tidak disambut pada 1 Mei berikutan tidak mahu mengingati peristiwa berdarah di Haymarket Square. Malah, ada juga yang mendakwa masih ramai rakyat Amerika Syarikat yang menganggap May Day merupakan hari cuti yang disambut oleh negara komunis.
Berikutan itu, Presiden AS, Grover Cleveland ketika itu mengisytiharkan minggu pertama September tahun 1894 sebagai hari cuti pekerja.
Bukan itu sahaja, Kanada turut menyambut Hari Pekerja pada 1 September.
Di Malaysia, hari cuti bagi 1 Mei merupakan antara lima hari yang wajib diberi sebagai hari kelepasan am setiap tahun. Perkara ini ada termaktub di bawah Akta Kerja 1955, Seksyen 60D(1)(a)&(b) yang meliputi hari kelepasan am bergaji.
Tahun ini, sambutan Hari Pekerja yang bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ dijadualkan bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Bagi menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara, 14 anugerah akan disampaikan kepada pekerja, majikan, kesatuan, media dan kontinjen.
Lebih menarik, dua anugerah baharu diperkenalkan pada tahun ini iaitu Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Pengurusan Atasan) dan Anugerah Media Terbaik (Agensi).
Sumber: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, NPR, TRT World, NDTV, AFL-CIO, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), World Economic Forum