Lima Universiti Terkemuka Korea Tawar 50 Tempat Pengajian Percuma Sambung Master Dan PhD
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) — Lima universiti terkemuka Korea Selatan bersetuju menawarkan 50 tempat pengajian percuma kepada pelajar Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), dengan jumlah tajaan dianggarkan bernilai RM3 juta.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata persetujuan itu dicapai hasil rundingan bersama beberapa presiden universiti terbabit ketika lawatan kerja rasmi beliau ke negara itu baru-baru ini.
“Alhamdulillah, moga apa yang direncanakan ini memberi manfaat kepada pelajar-pelajar Melayu-Bumiputera untuk menceburi bidang-bidang strategik berkepentingan negara masa depan,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Beliau berkata kelima-lima universiti berkenaan turut bersetuju menjalin kerjasama strategik dengan beberapa institusi pengajian tinggi MARA, antaranya Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM).
Kerjasama itu merangkumi pelaksanaan penyelidikan bersama dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), teknologi internet kebendaan (IoT), robotik dan tenaga boleh diperbaharui, dengan memanfaatkan fasiliti serta makmal berteknologi tinggi di Hanyang University dan Seoul-Tech University.
Dalam pada itu, MARA turut mendapat persetujuan bagi penempatan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi di bawah Institusi Pendidikan MARA (IPMa) seperti Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) untuk menjalani latihan industri di syarikat gergasi Korea Selatan seperti Hyundai dan Samsung.
“Pelajar-pelajar MARA di IPMa juga boleh menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama dengan hanya menghabiskan dua tahun melalui kaedah pindahan kredit setelah selesai tiga tahun diploma di IKM, KKTM dan UniKL dalam bidang-bidang kejuruteraan, elektrik, elektronik, sains komputer, AI dan IoT,” katanya.
BACA: Harga RON97, Diesel Di Semenanjung Turun 8 Sen
BACA: Ketegangan India-Pakistan Memuncak Susulan Serangan Terbaharu
BACA: Latihan Pestapora Malaysia Umum ‘Lineup’ Fasa Satu dengan Gabungan Artis dari Indonesia dan Malaysia
Sumber: BERNAMA