Manchester United Tunjuk Taring, Belasah Bilbao 4-1
MANCHESTER — Manchester United kini selangkah untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan selepas membenam Athletic Bilbao dengan agregat 7-1, sekali gus menempah tiket ke final Liga Europa bertemu Tottenham Hotspur, lapor AFP.
Bermain di laman sendiri, skuad kendalian Ruben Amorim memanfaatkan kelebihan 3-0 pada aksi pertama.
Bagaimanapun, The Red Devils dikejutkan oleh pelawat yang terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan kencang Mikel Jauregizar dari luar kotak penalti.
Pada babak kedua, Amorim membuat beberapa perubahan taktikal dengan memasukkan tiga pemain gantian.
Mason Mount yang masuk sebagai pemain gantian berjaya dua gol. Manakala dua lagi jaringan disumbangkan oleh Casemiro dan Rasmus Hojlund, sekaligus memadam api kebangkitan pelawat.
“Saya rasa kalau melihat pada kedua-dua perlawanan, ia sebenarnya lebih sukar berdasarkan keputusan (skor).
“Kami ada banyak kelemahan, tetapi pemain berjuang habis-habisan dan kami layak untuk ke final,” katanya.
Tambah Amorim, yang dilantik menggantikan Erik ten Hag pada November lalu, mengakui bahawa final di Bilbao hujung bulan ini adalah detik paling penting dalam kariernya sebagai pengendali United.
“Ini bukan soal duit atau trofi semata-mata, yang paling penting ialah perasaan sebagai jurulatih yang berjaya membawa pulang sesuatu kepada penyokong, terutama dalam musim sukar seperti ini,” katanya lagi.
United dijadualkan bertemu Spurs yang sebelum ini membenam Bodo/Glimt dengan agregat 5-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Di sebalik pencapaian hebat di pentas Eropah, prestasi United dalam saingan domestik amat mengecewakan apabila kini menghuni tangga ke-15 Liga Perdana.
The Red Devils berkemungkinan menamatkan saigan liga pada musim ini di kedudukan terburuk sejak 1974.
Semalam, Paris Saint-Germain (PSG) mara ke final Liga Juara-Juara Eropah selepas menundukkan Arsenal 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Parc des Princes dengan agregat 3-1.
Sumber: AFP via France24