Akibat Tabiat “Ini”, Lelaki 25 Tahun Alami Sindrom Kepala Jatuh
Seorang lelaki berusia 25 tahun mengalami sindrom kepala jatuh, menyebabkan otot lehernya menjadi sangat lemah sehingga dia tidak lagi mampu mengangkat kepalanya sendiri.
Menurut laporan kes yang diterbitkan dalam JOS Case Reports oleh sekumpulan doktor dari Jepun, lelaki berkenaan datang mendapatkan rawatan selepas mengadu sakit leher yang serius selama enam bulan.
Selain itu, dia juga mengalami kesukaran menelan makanan, sehingga menyebabkan berat badannya turun secara mendadak akibat kurang pemakanan.
Apa itu sindrom kepala jatuh?
Sindrom kepala jatuh atau “dropped head syndrome” (juga dikenali sebagai “floppy head syndrome”) merujuk kepada kelemahan serius pada otot leher yang menyebabkan seseorang tidak mampu menegakkan kepalanya.
Ia biasanya dikaitkan dengan penyakit neuromuskular seperti penyakit motor neuron.
Namun, pakar menegaskan bahawa ia juga boleh berlaku akibat faktor lain seperti penyalahgunaan dadah.
Sebagai contoh, doktor di Iran baru-baru ini melaporkan kes melibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun yang menghidap sindrom ini selepas bertahun-tahun menggunakan dadah jenis amfetamin.
Keadaan fizikal semakin parah
Imej imbasan dan foto klinikal yang dikongsikan menunjukkan bonggol yang menonjol keluar dari leher lelaki tersebut.
Doktor menerangkan bahawa keadaan ini berlaku kerana vertebra lehernya menjadi renggang dan tidak sejajar akibat posisi kepala yang menunduk terlalu lama dalam jangka masa panjang.
Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati struktur tulang lehernya telah berubah bentuk dan sebahagiannya terkehel serta membentuk tisu parut seakan-akan kesan kecederaan dalaman.
Menurut laporan, lelaki tersebut pada mulanya merupakan seorang kanak-kanak yang aktif.
Namun, hidupnya berubah drastik selepas mengalami buli yang teruk ketika remaja.
Akibat tekanan mental yang dialaminya, dia berhenti sekolah dan mengurung diri di dalam bilik selama bertahun-tahun.
Sepanjang tempoh pengasingan diri itu, dia menghabiskan masa berjam-jam bermain permainan mudah alih dalam posisi menunduk tanpa henti.
Tabiat ini akhirnya memberi kesan buruk terhadap kesihatan fizikalnya, khususnya pada bahagian leher dan tulang belakang, lapor Daily Mail UK.
Rawatan dan pembedahan
Pada peringkat awal rawatan, doktor cuba membetulkan kedudukan kepala menggunakan alat sokongan leher (neck collar).
Namun, pesakit mengadu rasa kebas semasa menggunakannya, menyebabkan rawatan tersebut dihentikan.
Sebaliknya, pasukan perubatan memutuskan untuk menjalankan beberapa prosedur pembedahan.
Mereka membuang sebahagian kecil tulang vertebra serta tisu parut yang terbentuk.
Kemudian, beberapa skru dan batang logam dimasukkan ke dalam tulang leher untuk membantu membetulkan postur kepala dan leher.
Enam bulan selepas pembedahan, pesakit dilaporkan berjaya mengangkat kepala dalam kedudukan mendatar tanpa masalah.
Dalam pemeriksaan susulan setahun kemudian, tiada tanda-tanda masalah lama berulang.
Peringatan
Dalam pada itu, doktor percaya bahawa sindrom kepala jatuh yang dialami pesakit ini berpunca daripada kombinasi dua faktor, iaitu postur leher yang salah dalam tempoh terlalu lama serta kemungkinan gangguan perkembangan otot yang tidak disedari.
Justeru, mereka menyeru agar orang ramai, terutamanya golongan muda, lebih berhati-hati terhadap tabiat menggunakan telefon pintar secara berlebihan dalam jangka masa yang lama, khususnya dalam posisi kepala yang terlalu menunduk.
BACA: Bekas Presiden AS Joe Biden Disahkan Hidap Kanser Prostat ‘Agresif’
BACA: Kapal Latihan Tentera Laut Mexico Rempuh Jambatan Brooklyn, 2 Dilapor Maut
BACA: Kira-Kira 27 Maut Akibat Puting Beliung, Ribut Di AS
Sumber: Daily Mail UK