Siakap Keli
Joe Biden Kanser Prostat 'Agresif'
Gambar: AFP

Bekas Presiden AS Joe Biden Disahkan Hidap Kanser Prostat ‘Agresif’

Bekas Presiden AS Joe Biden Disahkan Hidap Kanser Prostat ‘Agresif’

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, 82, telah disahkan menghidap kanser prostat yang ‘agresif’, menurut kenyataan rasmi daripada pejabatnya.

Menurut kenyataan itu, Biden telah menjalani pemeriksaan doktor minggu lalu selepas mengalami simptom berkaitan masalah kencing.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat ketumbuhan pada prostat. Ujian lanjutan kemudiannya mengesahkan beliau menghidap kanser prostat tahap serius, dengan sel-sel kanser telah merebak ke tulang.

“Pada Jumaat lalu, Presiden Joe Biden telah disahkan menghidap kanser prostat, dengan skor Gleason 9 (Kumpulan Gred 5) serta metastasis ke tulang,” jelas kenyataan pejabat beliau.

Walaupun kanser ini dikategorikan sebagai sangat agresif, kanser tersebut didapati sensitif terhadap hormon, sekali gus memberi ruang kepada rawatan yang berkesan.

Difahamkan, Biden dan keluarganya kini sedang berbincang dengan pasukan perubatan bagi memilih pilihan rawatan terbaik, termasuk rawatan hormon.

BACA: Dunia ‘Hilang’ 10 Hari Pada Oktober 1582

Sementara itu, Cancer Research UK mendedahkan skor Gleason 9 menunjukkan sel-sel kanser tersebut kelihatan sangat tidak normal. Ia juga berkemungkinan tinggi akan membesar dengan pantas.

Profesor Onkologi Urologi dari Universiti Glasgow, Dr Imran Ahmad, berkata kanser prostat adalah sangat biasa dalam kalangan lelaki berusia 80-an.

“Jika anda melakukan biopsi terhadap 10 lelaki seusia Joe Biden, lapan daripada mereka kemungkinan besar menghidap kanser prostat.

“Namun, saya berpendapat bahawa mungkin tujuh daripada mereka hanya menghidap kanser prostat berisiko rendah yang boleh dipantau sahaja. Tetapi akhirnya mereka akan meninggal dunia bukan disebabkan kanser tersebut.

“Manakala dalam kes Joe Biden, beliau jelas menghidap bentuk kanser yang sangat agresif dan jika keadaan kesihatannya masih baik, besar kemungkinan itulah yang akan menyebabkan kematiannya,” katanya kepada Sky News.

BACA: Perjalanan Kereta Api Paling Berbahaya Di Dunia

Lapor Sky News, sumber rapat keluarga Biden memaklumkan kepada NBC News bahawa bekas presiden itu sedang mempertimbangkan beberapa bentuk rawatan.

Beliau kini berada di kediamannya di Wilmington, Delaware, namun masih belum dipastikan di mana beliau akan menerima rawatan.

Biden merupakan presiden tertua dalam sejarah AS ketika berkhidmat, dan isu kesihatan sering menjadi perhatian semasa beliau bertanding untuk pemilihan semula tahun lalu.

Untuk rekod, pada Februari 2023, Biden pernah menjalani prosedur membuang ketumbuhan pada bahagian dada yang disahkan sebagai karsinoma sel basal, sejenis kanser kulit yang lazim berlaku.

BACA: Ketahui Realiti Disebalik Aktiviti Tunggang Gajah

Sumber: Sky News

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.