Keluar Cari Durian, Dua Beradik Ditemui Maut Dalam Keadaan Berpelukan
Indonesia — Dua beradik yang hilang selepas keluar mencari durian di kebun ditemui maut dalam keadaan berpelukan di sebuah taman di Kabupaten Pesisir Barat, Lampung pada Rabu lalu.
Memetik laporan CNN Indonesia, pihak polis mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa yang berusia 8 dan 4 tahun itu telah menjadi mangsa bunuh.
Pengarah Direktorat Siasatan Jenayah Polis Lampung, Pesuruhjaya Senior Pahala Simanjuntak berkata mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Bhayangkara Polis Lampung.
“Ketika ini kami masih menyiasat dan mengumpul bukti untuk mengetahui siapa pelakunya, kerana ini jelas pembunuhan,” katanya.
BACA: Dua Beradik Cedera Parah Digilis Lori Dalam Perjalanan Ke Sekolah
Menurutnya lagi, kes pembunuhan ini diperkuatkan lagi dengan luka-luka yang terdapat pada tubuh dua beradik itu. Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat tetakan senjata tajam.
“Kemudian, lengan salah seorang mangsa juga terputus. Namun potongan tangan itu sudah ditemukan di lokasi kejadian,” ujarnya.
Pahala juga berkata dua orang saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan kes itu.
“Semalam kami sudah panggil dua saksi. Nanti kami minta keterangan lebih lanjut, namun yang pastinya saksi lebih dari dua,” katanya.
BACA JUGA: Jemaah Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci Akibat Serangan Jantung
Bagi mempercepatkan siasatan, polis juga telah membawa bukti yang ditemui di tempat kejadian ke makmal forensik.
Berdasarkan pemeriksaan di makmal forensik itu nanti, polis mungkin akan mendapat petunjuk lebih terperinci mengenai kes terbabit.
Sebelum ditemukan meninggal dunia, keduanya sempat mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapa mereka dan keluar mencari durian di kebun.
“Jadi kronologinya, semalam kedua-dua mangsa meminta izin dengan ibu bapa mereka untuk mencari durian di kebun.
“Tapi sampai tengah hari mereka berdua tidak pulang ke rumah, susulan itu, penduduk menjalankan operasi mencari mereka,” kata Ketua Polis Daerah Pesisir Barat, AKBP Bestiana.
Sumber: CNN Indonesia
BACA: Nahas FRU: Pemandu Lori Ditahan Semula, Kes Curi Lembu Di Hutan Melintang