Siakap Keli
Bitcoin Capai Rekod Tertinggi Baharu
Gambar: AFP

Bitcoin Capai Rekod Tertinggi Baharu 

Bitcoin Capai Rekod Tertinggi Baharu 

Bitcoin sekali lagi mencuri perhatian dunia kewangan apabila nilainya melonjak ke paras tertinggi sepanjang zaman, hampir mencecah AS$110,000. Ini adalah berdasarkan data Coinbase melalui TradingView, lapor Forbes.

Menurut pengasas bersama Omni Network, Austin King, lonjakan ini bukan sekadar kenaikan spekulatif, melainkan hasil daripada tiga pemacu struktur yang berlaku serentak.

“Pertama, permintaan yang luar biasa daripada dana dagangan bursa (ETF) spot Amerika Syarikat (AS) kini menyerap bekalan lebih pantas berbanding kadar pengeluaran oleh pelombong selepas pengurangan ganjaran (halving) tahun lalu. Contohnya, ETF BlackRock iaitu IBIT mencatatkan aliran masuk selama 20 hari berturut-turut, dengan jumlah aliran masuk ETF melebihi AS$3 bilion hanya pada bulan Mei.

“Kedua, pendekatan penggubal dasar juga semakin berubah daripada bersifat bermusuhan kepada lebih terbuka. Ini boleh dilihat menerusi Rang Undang-Undang bipartisan GENIUS yang melibatkan stablecoin di Senat AS serta langkah Texas untuk mewujudkan Rizab Strategik Bitcoin di peringkat negeri. Semua ini membuka ruang peraturan dan memberi keyakinan kepada institusi kewangan untuk membuat pelaburan.

“Ketiga, permintaan yang semakin meningkat terhadap aset pelindung inflasi menarik minat pelabur institusi berskala besar. Contohnya, syarikat pelaburan gergasi Blackstone baru sahaja membuat pembelian ETF pertamanya. Dalam masa yang sama, pelabur biasa juga sedang mencari perlindungan daripada tekanan harga yang masih tinggi,” katanya.

Permintaan yang kukuh

Sementara itu, Ketua Penyelidikan di CryptoQuant, Julio Moreno, turut mengesahkan peningkatan permintaan ini.

“Saya boleh katakan bahawa harga Bitcoin mencapai paras tertinggi baharu berikutan pertumbuhan permintaan spot oleh pelabur AS yang masih berterusan. Ini jelas dapat dilihat melalui premium harga Bitcoin di Coinbase yang terus meningkat,” katanya.

Tambah beliau, data menunjukkan bahawa jumlah pemilikan oleh pelabur besar (whales) kini mencecah 3.57 juta unit Bitcoin, menghampiri rekod tertinggi 3.75 juta unit yang dicatat pada Februari 2021.

“Ini menunjukkan permintaan yang semakin tinggi daripada pelabur berskala besar,” katanya lagi.

Untuk info, “whales” didefinisikan sebagai pelabur yang memiliki sekurang-kurangnya 1,000 unit Bitcoin.

Pelabur institusi semakin aktif

Menyentuh soal pelabur besar, Ketua Pegawai Eksekutif platform penyelidikan kripto DYOR, Ben Kurland, turut memberi pandangan mengenai penglibatan institusi kewangan yang semakin ketara dalam pasaran Bitcoin.

“Pasaran kini tidak lagi digerakkan oleh hype semata-mata, sebaliknya oleh keyakinan dan kekuatan kewangan. Ini bukan sekadar pencapaian harga, tetapi ini adalah pencapaian kredibiliti.

“Apabila Bitcoin berjaya mencipta rekod baharu, terutama selepas tidak lagi bergerak seiring dengan pasaran kewangan tradisional, ini membuktikan bahawa Bitcoin kini mempunyai tempat yang sah dalam sistem kewangan global,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan ini membawa maksud besar kepada mata wang digital paling terkenal di dunia.

“Bitcoin telah melalui lebih sedekad penuh turun naik, peraturan yang ketat, serta keraguan dari pelbagai pihak, dan tetap keluar lebih kuat setiap kali. Naratif kini berubah daripada hanya spekulasi kepada daya tahan jangka panjang, dan perubahan inilah yang menjadi pendorong utama kepada lonjakan ini,” tambahnya.

BACA: Bumbung Menara Bersejarah Dinasti Ming Runtuh

BACA: China Lancar 100 Lori Lombong Elektrik Tanpa Pemandu

BACA: China Lancar Kapal Pengangkut Kereta Terbesar Di Dunia 

Sumber: Forbes

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.