Gajah Serbu Kedai Serbaneka, Keluar Lepas Dapat Makan Snek
BANGKOK – Seekor gajah jantan besar dikenali sebagai Plai Biang Lek mencuri tumpuan ramai apabila videonya menyerbu sebuah kedai serbaneka dan makan snek ‘tanpa membayarnya’ tular di media sosial.
Menurut laporan South China Morning Post, kejadian berlaku di daerah Pak Chong, kira-kira tiga jam dari Bangkok berdekatan Taman Negara Khao Yai, tempat gajah keluar dari tempat perlindungan untuk mencari makanan.
Dalam video dimuat naik halaman Facebook Here is Khao Yai, gajah tersebut dilihat memasuki kedai, dengan kepala hampir mencecah siling, sebelum melahap beberapa kotak snek beras. Gajah tersebut kemudian berjalan keluar dengan tenang tanpa merosakkan premis atau mencederakan sesiapa. Rakaman berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi lucu dalam kalangan warga Thailand.
BACA: Gajah Miliki Keupayaan “Spatial”, Mampu Ingat Kawasan, Peristiwa
“Nak makan snek daging pula ke?” usik seorang pengguna Facebook.
“Biang, lupa bayar ke? Dah imbas ke belum?” seloroh seorang lagi.
Kehadiran Plai Biang Lek sememangnya tidak asing lagi di kawasan berkenaan. Menerusi rakaman yang lain, gajah tersebut dilihat menceroboh dapur restoran di wilayah Nakhon Ratchasima apabila tertarik dengan bau makanan ketika pemiliknya sedang tidur.
Insiden ini mencerminkan konflik yang semakin kerap berlaku antara manusia dan gajah liar di Thailand berikutan pembangunan yang menjejaskan habitat semula jadi mereka.
@lostinthailand27 An elephant casually walked into a convenience store in Khao Yai🐘#vacation #thai #thailand #holiday #fullmoon #party #travel #2025 #fyp #bangkok #asia #funny
Pihak berkuasa menyatakan populasi gajah liar Thailand dianggarkan antara 3,700 hingga 4,400 ekor di taman-taman negara.
Namun, pembangunan pesat dan aktiviti pertanian menyebabkan habitat gajah semakin terancam dan memaksa haiwan itu keluar mencari sumber makanan. Kejadian gajah menyerbu kedai atau rumah bukanlah perkara baharu, tetapi amat jarang berlaku di kawasan bandar atau premis komersial.
Kadangkala, pertembungan ini berakhir dengan tragis termasuk gajah ditembak atau terkena renjatan pagar elektrik yang dipasang petani bagi melindungi tanaman.
Sumber: South China Morning Post
BACA: Trafik Terganggu, Tular Gajah Laut Sesat Di Kawasan Perumahan