Siakap Keli
Gambar: Hiasan/Astro Awani

Malaysia Rekod Kadar Pengangguran Terendah Dalam 10 Tahun

Malaysia Rekod Kadar Pengangguran Terendah Dalam 10 Tahun

Malaysia merekodkan kadar pengangguran terendah dalam tempoh satu dekad, iaitu 3.0 peratus pada April 2025, melibatkan seramai 525,900 penganggur.

Laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia bagi April 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa kestabilan ekonomi negara telah menyumbang kepada pengukuhan pasaran buruh.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin memaklumkan bahawa bilangan tenaga buruh meningkat kepada 17.34 juta orang pada April 2025, berbanding 17.31 juta orang pada Mac 2025. Ini menunjukkan berlakunya peningkatan sebanyak 0.2 peratus.

“Kadar penyertaan tenaga buruh juga meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.8 peratus, mencerminkan lebih ramai rakyat Malaysia yang terlibat dalam pasaran pekerjaan. Bilangan penduduk yang bekerja juga meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.82 juta orang, berbanding 16.78 juta orang pada bulan sebelumnya,” kata beliau.

Dalam masa yang sama, jumlah penganggur menurun sebanyak 0.7 peratus kepada 525,900 orang, berbanding 529,600 orang pada Mac 2025.

Uzir menjelaskan bahawa kadar pengangguran 3.0 peratus pada April 2025 merupakan kadar paling rendah dalam tempoh sepuluh tahun, selari dengan penurunan dalam kalangan penganggur aktif, yang menunjukkan perkembangan positif dalam pasaran buruh.

Menurut laporan, sebanyak 79.6 peratus daripada jumlah penganggur terdiri daripada mereka yang tergolong dalam kategori penganggur aktif dan sedang berusaha mencari pekerjaan.

Jumlah penganggur aktif ini turut mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus kepada 418,600 orang pada April 2025, berbanding 420,700 orang pada bulan sebelumnya.

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.3 peratus dengan 298,300 penganggur belia.

“Namun, kadar pengangguran untuk belia berumur 15 hingga 30 tahun menunjukkan penurunan kepada 6.2 peratus, dengan 400,600 orang belia menganggur,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah penduduk yang berada di luar tenaga buruh turut meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 7.17 juta orang berbanding bulan Mac 2025.

Majoriti mereka terdiri daripada individu yang menjalankan kerja rumah atau mempunyai tanggungjawab keluarga (43.7 peratus) serta mereka yang sedang belajar atau menjalani latihan (41.1 peratus).

Melangkah ke hadapan, pasaran buruh Malaysia dijangka terus menunjukkan pertumbuhan yang positif, didorong oleh dasar ekonomi yang kukuh serta permintaan domestik yang stabil.

Walaupun berdepan cabaran ketegangan geopolitik global, sektor perkhidmatan dan teknologi yang terus berkembang, serta pelaburan dalam bidang pendigitalan dan automasi dijangka akan terus menyokong kestabilan tenaga buruh negara.

BACA: AGC Tolak Representasi Najib Kes SRC RM27 Juta, Perbicaraan Diteruskan

BACA: 400,000 Peminjam Tidak Pernah Bayar Hutang PTPTN

BACA: Chong Wei Bangga Harimau Malaya Berjaya Tundukkan Vietnam

Sumber: Astro Awani

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.