KP Kesihatan Utus Surat Hargai Dedikasi Petugas Kesihatan Kendali Nahas UPSI
Hospital Gerik mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab yang telah mengutuskan surat penghargaan kepada mereka pada 10 Jun.
Menerusi surat itu, Mahathar menitipkan penghargaan kepada petugas kesihatan di hospital itu yang pantas dan berdedikasi ketika menangani tragedi nahas bas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Kejadian ini bukan sekadar ujian bagi negara, tetapi juga bukti kekuatan, ketabahan dan keikhlasan wira-wira kesihatan kita. Dalam detik genting ini, petugas KKM berdiri teguh di barisan hadapan, tanpa keraguan atau rungutan, berjuang untuk menyelamatkan nyawa dan meringankan beban mangsa serta keluarga mereka.
“Kepada Pasukan Hospital Gerik, anda benar-benar luar biasa. Dengan kapasiti yang terhad, anda berjaya mengendalikan 29 mangsa cedera, menjalankan bedah siasat, dan memberikan sokongan emosi kepada keluarga yang berduka.
“Pengorbanan staf, sama ada berjaga hingga larut malam atau hadir seawal pukul 3 pagi, adalah lambang sebenar semangat #KamiSedia Membantu,” ucap Mahathar dalam surat terbabit.
BACA: UPSI Kemas Barang 15 Pelajar, Guna Lori Kontena Hantar Ke Pangkuan Keluarga
Dalam pada itu, Hospital Gerik berkata penghargaan terbabit akan lebih menyuntik semangat semua petugas dan terus komited memberikan yang terbaik.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja menyuntik semangat kepada semua petugas kami, malah menjadi simbol bahawa usaha, pengorbanan dan komitmen yang diberikan dalam menangani tragedi nahas bas penuntut UPSI dihargai dan diiktiraf di peringkat tertinggi.
“Kami di Hospital Gerik akan terus komited, cekal dan bersedia untuk terus memberikan khidmat terbaik demi kesejahteraan rakyat. Semangat #KamiSediaMembantu akan sentiasa kami junjung sebagai teras kepada segala tindakan dan perkhidmatan kami,” kata hospital terbabit di laman Facebook.
Menerusi surat terbabit, Mahathar turut berterima kasih kepada pasukan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Taiping dan Hospital Baling telah bekerjasama erat dalam mengendalikan bedah siasat, rawatan kritikal serta pemindahan mangsa.
“Staf Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak dan Kinta bersama klinik-klinik kesihatan turut memberikan sokongan logistik termasuk perkhidmatan ambulans dan bantuan psikososial.
“Walaupun mungkin kurang terlihat, inisiatif ini menyerlahkan keupayaan sistem kesihatan negara untuk menangani situasi kritikal dengan koordinasi yang berkesan dan semangat profesionalisme.
“Seluruh staf KKM yang terlibat termasuk doktor, jururawat dan staf sokongan adalah wira sebenar. Tragedi ini membuktikan bahawa semangat pengorbanan dan komitmen anda tidak pernah luntur,” katanya.
Sumber: Hospital Gerik