Penunggang Basikal Warga Singapura Maut Dilanggar Treler
JOHOR BAHRU, 14 Jun (Bernama) — Seorang penunggang basikal warga Singapura maut selepas dipercayai terjatuh akibat terlanggar lubang sebelum dilanggar sebuah lori treler di Jalan Gunung Pulai, Kulai, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata kejadian berlaku pada kira-kira 9.45 pagi, apabila mangsa lelaki yang berusia 42 tahun itu menunggang basikal bersama empat lagi rakannya.
“Mangsa terlanggar lubang lalu jatuh di atas jalan raya. Pemandu treler lelaki berusia 41 tahun sedang dalam perjalanan ke Singapura untuk menghantar batu, tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori treler warga tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BACA: Seorang Maut, Dua Cedera Ditembak Ketika Makan Di Brickfields
BACA: Duduk Di “11A”, Penyanyi Thailand Kongsi Detik Ngeri Terselamat Nahas Udara 1998
BACA: Nahas Gerik: Laporan Awal Teknikal Puspakom Dapati Tiada Bukti Kegagalan Sistem Mekanikal Bas
Sumber: BERNAMA