Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Wanita Dakwa Bayi Meninggal Akibat Jangkitan Virus Berbahaya Selepas Dicium
Hailey Riches, 25, tampil memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak mencium bayi yang baru lahir selepas anak perempuannya meninggal dunia akibat jangkitan virus berbahaya.
Menurut Hailey, kehamilannya berjalan seperti biasa sehingga beliau perlu menjalani pembedahan kecemasan pada 22 Mac 2023.
Anaknya, Violet-May Constantinou, kelihatan sihat selepas dilahirkan. Bagaimanapun, beberapa hari kemudian Hailey mula melihat tanda-tanda membimbangkan pada anaknya.
Kongsi Hailey, Violet kurang menyusu, kelihatan lemah dan menghidap penyakit kuning.
Selepas dibawa ke Hospital Worthing, doktor melakukan pemeriksaan namun membenarkan mereka pulang.
Tetapi, keadaan bertambah buruk. Violet mengalami demam dan beberapa ujian mengesahkan Violet dijangkiti herpes neonatal (HSV-1), pada usia baru lapan hari.
Ia adalah jangkitan serius yang disebabkan oleh virus herpes simplex dalam kalangan bayi baru lahir. Jangkitan itu dipercayai berlaku sebelum, semasa atau selepas proses kelahiran.
HSV-1 biasanya disebarkan melalui interaksi mulut seperti ciuman, perkongsian minuman atau peralatan makan, dan boleh menyebabkan luka sejuk.
Pada 1 April, Violet dipindahkan ke Hospital Southampton untuk rawatan intensif.
“Doktor kata kami sangat bertuah jika dia dapat bertahan 24 hingga 48 jam lagi,” katanya.
Violet kemudiannya diterbangkan ke Hospital King’s College di London kerana disahkan mengalami kegagalan hati yang teruk.
Para doktor memaklumkan bahawa Violet mengalami kegagalan hati yang kritikal dan segera diletakkan dalam senarai keutamaan tertinggi untuk pemindahan hati di United Kingdom.
Malangnya, Violet menghembuskan nafas terakhir ketika berusia sebulan sebelum sempat menjalani prosedur itu.
“Kami melihat sendiri dia mengalami sawan, paru-paru semakin lemah dan akhirnya mengalami serangan jantung. Kami lihat dia diresusitasi selama sembilan minit. Ia adalah pengalaman paling menyakitkan dalam hidup kami,” kata Hailey sebak.
Doktor memberitahu ibu bapa Violet bahawa mereka mungkin tidak akan pernah tahu bagaimana jangkitan itu berlaku.
Walaupun tiada ahli keluarga yang mengalami luka sejuk (cold sore), jangkitan itu berkemungkinan datang daripada sumber luar.
“Sesiapa pun boleh menyebarkan virus ini tanpa disedari,” jelasnya.
Pada 16 Ogos 2024, Hailey dan Dimitri menyambut kelahiran bayi perempuan kedua mereka, Lily. Namun, pengalaman bersama Violet membuatkan mereka sangat berhati-hati.
“Saya sangat takut. Doktor beritahu enam minggu pertama sangat penting kerana bayi tiada sistem imun. Kami beritahu semua orang supaya jangan cium bayi, basuh tangan dahulu sebelum pegang dia,” ujarnya.
Hailey kini bertekad untuk menyebarkan kesedaran tentang risiko mencium bayi.
“Saya sering lihat orang berkata ‘kenapa tak boleh cium bayi?’ sedangkan itu bukan anak mereka. Ia sangat mengecewakan bagi saya yang sudah melalui pengalaman ini.
“Sebab itu kita perlu lebih berhati-hati dan peka. Jika anda ada luka sejuk, jangan dekati bayi kerana ia boleh membawa maut.
“Saya tidak berniat menakutkan ibu-ibu baru atau wanita mengandung, tetapi jika ada sesuatu yang tak kena, cepat-cepat periksa dan dapatkan rawatan,” katanya.
BACA: Sofyank Update Bakal Shoot Dengan Pelakon Movie “Superhero”
Sumber: Mirror