Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JKM Sedia Ambil Alih Penjagaan Kanak-Kanak Jadi ‘Mangsa’ Teman Lelaki Ibu – Nancy

Hannah
JKM Penjagaan Kanak-Kanak
Gambar: BERNAMA

JKM Sedia Ambil Alih Penjagaan Kanak-Kanak Jadi ‘Mangsa’ Teman Lelaki Ibu – Nancy

PUTRAJAYA, 4 Julai (Bernama) — Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mengambil alih tanggungjawab penjagaan sementara seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai dirogol teman lelaki ibunya tahun lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu bagi memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak berkenaan terjamin, sekiranya tiada ahli keluarga yang sesuai atau berkeupayaan untuk menjaganya.

“Selain perlindungan fizikal, mangsa juga berhak menerima sokongan psikososial yang sewajarnya bagi membantu proses pemulihan emosi dan mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nancy merujuk kepada kes seorang kanak-kanak perempuan yang dirogol seorang penjual nasi lemak yang merupakan teman lelaki kepada ibu kandungnya, ketika berusia 12 tahun di sebuah rumah di Hulu Langat pada pertengahan tahun lepas.

Lelaki berusia 61 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini manakala ibu kanak-kanak terbabit yang berusia 37 tahun turut berdepan pertuduhan bersubahat.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua individu berkenaan diikat jamin dan menetapkan kes disebut semula pada 7 Ogos ini.

Mangsa dilaporkan kini menetap bersama ibu saudaranya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata kes seumpama itu amat membimbangkan dan tidak boleh dikompromi dalam masyarakat yang menghargai keselamatan serta maruah kanak-kanak.

“Saya ingin menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama yang mesti diberi perhatian serius,” katanya.

Beliau menyeru masyarakat untuk peka terhadap isu penderaan kanak-kanak dan tidak berdiam diri apabila berlaku kejadian sedemikian.

Maklumat berkaitan penderaan atau pengabaian boleh dilaporkan kepada Talian Kasih 15999 atau mana-mana pejabat JKM berhampiran serta pihak polis.

BACA: Nurul Izzah Dilantik Sebagai Penasihat SIDEC

BACA: AMM Ke-58: 3 Lebuh Raya, 15 Jalan Utama Terlibat Lencongan Bermula 8 Julai Ini

BACA: Saintis Marin USM Terima Anugerah Berprestij Anton Bruun Medal Di Paris

Sumber: BERNAMA