Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Remaja Miliki Nama Hanya Satu Huruf Curi Perhatian Ramai
KALIMANTAN — Seorang remaja perempuan dari Kotawaringin Timur, Kalimantan Tengah tular di media sosial selepas kisah unik dikongsinya, memiliki nama yang hanya terdiri daripada satu huruf, iaitu ‘C’, lapor Kompas.
Difahamkan, remaja berusia 18 tahun itu mula menarik perhatian ramai apabila menyertai trend di media sosial mengenai inspirasi nama anak yang diberikan oleh ibu bapa.
Kisah nama pendeknya mencetuskan pelbagai reaksi pengguna internet.

Menurut C yang berasal dari Palangka Raya, nama tersebut tidak mempunyai maksud tertentu, namun dipilih secara simbolik oleh kedua ibu bapanya.
“Tiada makna khusus, tapi menurut perkongsian ibu bapa, mereka beri nama C kerana sangka saya akan menjadi anak bongsu. Jadi, mereka pilih huruf ketiga dalam abjad kerana saya anak perempuan ketiga,” katanya.
C yang merupakan pelajar dalam bidang Komunikasi di Universiti Muhammadiyah Palangka Raya, merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik.
Dengan nama ini, dia merupakan satu-satunya dalam keluarga yang mempunyai nama dengan hanya satu huruf.
Tambah C, pemilihan huruf tersebut turut berkait dengan sebutan ‘C’ yang menyerupai sebutan “she” dalam bahasa Inggeris, sekali gus melambangkan identiti dirinya sebagai seorang perempuan.
“Ibu bapa saya beritahu, jika saya dilahirkan sebagai lelaki, nama saya mungkin Z huruf terakhir dalam abjad,” katanya.
Dalam masa yang sama, C turut berkongsi nama unik itu turut memberi pelbagai pengalaman menarik, khususnya ketika membuat dokumen rasmi seperti Kad Pengenalan (KTP) dan dalam urusan pentadbiran di sekolah.
“Ramai yang tak percaya nama saya cuma satu huruf. Ada yang anggap saya bergurau. Kadang-kadang walaupun dah tunjuk KTP, mereka masih ragu-ragu,” katanya lagi.
Bagaimanapun, C mengakui tidak pernah menghadapi masalah serius ketika melakukan urusan rasmi seperti pendaftaran pendidikan atau dokumen penduduk, walaupun sering terpaksa meyakinkan pegawai dan guru mengenai nama penuhnya.
“Semasa daftar KTP pun, pegawai beberapa kali tanya semula. Mereka siap semak kad keluarga dan sijil lahir. Sama juga ketika daftar universiti, ketua program pengajian pun terkejut,” ceritanya lagi.
C berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi bahawa nama, walaupun ringkas, tetap membawa identiti dan kisah tersendiri yang bermakna.
Sumber: KOMPAS