Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lapangan Terbang Southend Ditutup, Semua Penerbangan Dibatalkan

Azizah Najib
Nahas pesawat perubatan southend
Kredit: The Sun UK

Lapangan Terbang Southend Ditutup, Semua Penerbangan Dibatalkan

Lapangan Terbang Southend ditutup sepenuhnya sehingga pemberitahuan lanjut selepas sebuah pesawat kecil perubatan terhempas dalam kejadian yang mencetuskan bola api besar di udara, lapor The Sun UK.

Menurut kenyataan pihak Lapangan Terbang Southend, semua penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang berkenaan telah dibatalkan. Pihak polis, perkhidmatan kecemasan dan pasukan penyiasat nahas udara telah dikerah ke lokasi kejadian.

“Penumpang yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Southend London pada Isnin diminta menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk maklumat lanjut.

“Doa dan ingatan kami bersama mereka yang terkesan akibat kejadian hari ini, serta semua penumpang yang terjejas akibat gangguan ini.

“Kami akan memulakan semula operasi penerbangan secepat mungkin dan akan memaklumkan perkembangan kepada awam segera,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pesawat yang terlibat nahas berkenaan merupakan Beech B200 Super King Air yang dalam perjalanan ke Lelystad, Belanda. Pesawat tersebut dijadualkan berlepas sekitar jam 3.45 petang, pada Ahad.

Pesawat tersebut dilengkapi sistem perubatan khas bagi membawa pesakit. Punca nahas masih dalam siasatan.

Ketika kejadian, pihak berkuasa tidak dapat memastikan sama ada terdapat pesakit yang dibawa atau tidak.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Essex mengesahkan mereka menerima panggilan pada jam 3.58 petang waktu tempatan dan telah menggerakkan dua jentera bomba dari Southend, dua dari Rayleigh Weir dan Basildon, serta kenderaan luar jalan dari Billericay dan Chelmsford ke tempat kejadian.

Dalam satu kenyataan, pihak Polis Essex telah membuka portal dan talian khas bagi penyaluran maklumat daripada orang awam.

“Penerbangan di lapangan terbang berkenaan dihentikan serta-merta bagi memastikan kerja-kerja memadam kebakaran dapat dilaksanakan segera.

“Kami telah meletakkan kawalan keselamatan yang meluas bagi memastikan semua rakan perkhidmatan kecemasan kami dapat menjalankan tugas mereka dengan selamat. Usaha ini akan diteruskan sepanjang malam hingga pagi esok,” tambah kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Superintenden, Morgan Conin berkata peringkat awal merupakan peringkat paling penting bagi pihaknya mengumpul semua maklumat yang diperlukan.

“Orang ramai diminta menggunakan saluran khas yang disediakan dan tidak menghubungi talian kecemasan kecuali dalam situasi benar-benar terdesak.

“Kami bekerjasama rapat dengan semua pihak di lokasi serta Cawangan Penyiasatan Nahas Udara untuk mengenal pasti apa yang berlaku dan sebab kejadian ini,” jelas beliau.

Sumber: The Sun UK

BACA: Tiru Plot Filem, Menantu Tergamak Rancang Pembunuhan Ibu Mertua

BACA: Pertama Di Malaysia, Aplikasi Bank Digital Ada Penunjuk Kiblat & Zikir “Counter”