Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tiru Plot Filem, Menantu Tergamak Rancang Pembunuhan Ibu Mertua
Seorang lelaki bertindak kejam apabila sanggup merancang pembunuhan ibu mertuanya dalam satu insiden langgar lari semata-mata untuk menuntut wang insurans bernilai lebih RM270,000.
Lebih mengejutkan, jenayah itu diinspirasikan daripada plot sebuah filem popular.
Menurut laporan The Times of India, polis pada awalnya menerima maklumat mengenai kematian seorang wanita warga emas yang dilanggar sebuah kenderaan SUV ketika sedang berjalan di tepi jalan berhampiran kawasan Peddamasanpally.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan kenderaan tersebut merempuh mangsa sebelum melarikan diri, seolah-olah insiden itu hanyalah kemalangan biasa.
Namun, siasatan lanjut pihak berkuasa membongkar fakta sebenar apabila kenderaan yang digunakan adalah sebuah teksi sewa dan telah disewa oleh dua lelaki untuk tempoh sehari.
Salah seorang daripada mereka rupa-rupanya ialah menantu kepada mangsa sendiri.
Pesuruhjaya Polis Siddipet, B Anuradha, memaklumkan bahawa siasatan dan soal siasat ke atas kedua-dua suspek mendedahkan bahawa kemalangan itu sebenarnya satu pembunuhan yang dirancang.
Tujuannya adalah untuk menuntut wang insurans sebanyak INR55 lakh (bersamaan kira-kira RM272,074).
Menurut polis, tertuduh terdorong melakukan jenayah ini selepas menonton filem Drishyam, yang memaparkan plot jenayah yang dirancang rapi dan berjaya mengaburi pihak polis.
Mereka cuba meniru jalan cerita tersebut bagi mewujudkan ‘jenayah sempurna’.
Polis turut mendedahkan bahawa mangsa, yang memiliki tanah seluas dua ekar, telah dipujuk oleh menantunya untuk mengambil dua polisi insurans kononnya demi jaminan kewangan.
Mereka juga bercadang untuk menuntut skim insurans negeri bagi petani, dikenali sebagai Rythu Bima.
Pada hari kejadian, tertuduh membawa ibu mertuanya ke ladang dengan alasan kononnya mahu mendapatkan tandatangan bagi permohonan sambungan bekalan elektrik.
Namun apabila ‘pegawai’ yang dijanjikan tidak muncul, mangsa disuruh pulang berjalan kaki seorang diri.
Ketika itulah, perancangan jahat mereka dilaksanakan. Rakan subahat tertuduh melanggar wanita itu dengan kenderaan yang telah disediakan lebih awal.
Walau bagaimanapun, siasatan terperinci pihak polis termasuk rakaman CCTV, analisis forensik dan penjejakan kenderaan berjaya membongkar jenayah tersebut.
Kedua-dua suspek kini ditahan, dan pihak berkuasa mengesahkan tindakan undang-undang sedang dijalankan terhadap mereka.
BACA: Hujan Lebat Monsun Ragut 104 Nyawa, Cederakan 200 Orang Di Seluruh Pakistan
BACA: Kebakaran Hutan Musnahkan 43 Hektar Di Sumatera Utara – BNPB
BACA: Banyak Berjasa, Amir Raja Lawak Sayu Lepaskan Kereta Kesayangan
Sumber: The Times of India