Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kuala Lumpur, 4 Julai 2025 – Tourism Malaysia dengan bangganya mengumumkan sokongan rasmi terhadap filem Worth The Wait, sebuah filem romantik komedi yang menyentuh hati dengan meraikan bakat Asia, percintaan merentasi sempadan, serta keindahan hubungan budaya.
Ditayangkan hari ini di Kuala Lumpur, Worth The Wait telah berjaya mencuri hati penonton dengan tema kasih sayang, harapan, serta barisan pelakon Asia yang menyerlah di peringkat antarabangsa.
Filem ini dibintangi oleh Ross Butler (13 Reasons Why), Lana Condor (To All The Boys I’ve Loved Before), Andrew Koji (Black Doves), Sung Kang (Fast and Furious), Elodie Yung (The Cleaning Lady), Karena Ka-Yan Lam (pemenang Anugerah Golden Horse dari Hong Kong dan Taiwan), Osric Chau (Supernatural), Kheng Hua Tan (Crazy Rich Asians), dan Yu-Beng Lim (Rebel Moon).
Pengarah tersohor Taiwan, Tom Shu-Yu Lin, yang telah menerima lapan pencalonan Anugerah Golden Horse, membuat penampilan sulung dalam bahasa Inggeris menerusi filem ini. Tayangan gala karpet merah hari ini turut dihadiri barisan pelakon dan kru dari Amerika Syarikat, Kanada, Taiwan dan Singapura, menjadikan acara ini satu sambutan antarabangsa yang penuh warna.
Sebahagian daripada penggambaran filem ini telah dijalankan di Malaysia, sebagai usaha berterusan mempromosikan wakil Asia di Amerika Utara, sambil menonjolkan keindahan semula jadi, warisan budaya tempatan dan keramahan rakyat Malaysia yang terus menjadikan negara ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Filem seperti Worth The Wait boleh menginspirasi penonton dari seluruh dunia untuk datang dan menjelajah Malaysia sendiri,” kata Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia. “Kerjasama ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk mengintegrasikan pelancongan dengan industri filem dan hiburan. Industri filem adalah segmen yang sedang berkembang dan membolehkan Malaysia bersinar sebagai latar cerita dan lokasi penggambaran.”
Kerjasama ini juga menunjukkan komitmen Tourism Malaysia dalam menyokong industri kreatif yang mempromosikan budaya serta pelancongan Malaysia melalui penceritaan dan visual yang menyentuh hati. Usaha ini turut menjadi sebahagian daripada inisiatif nasional dalam menyemarakkan pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Diterbitkan oleh Rachel Tan, bekas Miss Malaysia yang kini aktif dalam industri filem Asia Tenggara, Worth The Waittelah menerima maklum balas positif daripada penonton dan pengkritik kerana jalan cerita yang mengharukan, nilai sejagat mengenai kasih sayang dan harapan, serta representasi budaya yang merentas sempadan.
“Worth The Wait bukan sekadar hiburan, tetapi juga refleksi tentang cinta, kepercayaan dan pengharapan,” kata Rachel Tan yang menjelaskan bahawa filem ini diinspirasikan daripada kisah percintaan peribadinya yang berkembang melalui hubungan jarak jauh antara Malaysia dan Amerika Syarikat. “Saya dan Dan ingin menghasilkan sesuatu yang meraikan identiti Asia kami sambil menyentuh penonton di seluruh dunia dan maklum balas yang kami terima setakat ini sangat menggalakkan.”
Filem berdurasi 1 jam 42 minit ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada Ogos ini dan akan diedarkan oleh Astro Shaw. Worth The Wait turut mencipta sejarah dalam industri perfileman Malaysia apabila menjadi antara filem romantik yang berjaya meraih tayangan di pawagam dan penstriman antarabangsa, termasuk di Hollywood, Kanada, United Kingdom, Australia dan New Zealand, sebelum memasuki pasaran Malaysia dan Singapura.
Acara tayangan perdana karpet merah hari ini di DaDi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur berjaya menarik kehadiran lebih 200 tetamu termasuk kehadiran istimewa barisan pelakon dan pembikin filem yang terbang dari luar negara untuk bersama memeriahkan acara ini.
Filem Worth The Wait terbitan King Street Pictures ini adalah filem keenam mereka, dengan reputasi menghasilkan karya yang sarat dengan nilai emosi serta penceritaan yang meraikan kepelbagaian. King Street Pictures terus memperjuangkan representasi Asia dalam pawagam global dan berusaha memperkukuh suara-suara yang kurang diwakili dalam industri filem.