Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Banjir Lumpur Pula Landa Rusia 

Iqbal Yasir
banjir lumpur landa rusia
Gambar: The Moscow Times, Cgtneurope

Banjir Lumpur Pula Landa Rusia

MOSCOW — Hujan lebat yang melanda kawasan berhampiran Gunung Elbrus di selatan Rusia telah mencetuskan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur menyebabkan lebih 350 penduduk dipindahkan manakala sekitar 3,000 lagi terputus bekalan air bersih, lapor portal berita The Moscow Times.

Menurut pihak berkuasa pada Jumaat, keadaan darurat telah diisytiharkan di daerah perbandaran Elbrussky dalam wilayah Kabardino-Balkaria selepas tanah runtuh melanda pada Khamis, sekali gus mengancam keselamatan penduduk setempat.

Jurucakap Kementerian Situasi Kecemasan, Kantemir Berov, memaklumkan bahawa seramai 372 individu telah dipindahkan dari kawasan yang berisiko dilanda banjir lumpur.

Insiden turut menjejaskan kemudahan bekalan air di Tyrnauz, sebuah bandar yang dihuni kira-kira 21,000 orang yang terletak berhampiran sempadan Georgia.

Difahamkan, kira-kira 3,000 penduduk bandar berkenaan kini berdepan gangguan bekalan air bersih.

“Kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan, namun sistem infrastruktur air mengalami kerosakan yang ketara,” menurut kenyataan kementerian itu.

Setakat semalam, tiada kejadian tanah runtuh baharu dilaporkan, namun pihak berkuasa memberi amaran bahawa risiko kejadian susulan masih tinggi berikutan keadaan tanah yang tidak stabil

Sungai Gerkhozhan-Su yang mengalir melalui kawasan tersebut juga dilaporkan mengalami kejadian tanah runtuh pada minggu lalu, menambahkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk sekitar

Gunung Elbrus, yang merupakan gunung tertinggi di Rusia dan Eropah dengan ketinggian 5,642 meter, dikenali sebagai gunung berapi tidak aktif yang terletak di kawasan pergunungan Caucasus.

BACA: Gempa Di Rusia Paling Kuat Sejak 1952

BACA: Selepas Dilanda Gempa Kuat 8.8M, Giliran Gunung Berapi Di Rusia Pula Meletus

Sumber:

The Moscow Times