Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Rahsia Deko Rumah Nampak Bergaya Dengan “Rules of Three”
Pernahkah anda terfikir bagaimana sesetengah rumah walaupun dihias dengan perabot dan aksesori yang ringkas tetap kelihatan begitu elegan, kemas dan classy?
Rahsianya bukan semata-mata pada harga barangan yang digunakan tetapi juga pada cara ia disusun. Inilah kehebatan Rules of Three, satu prinsip dekorasi yang sering menjadi senjata rahsia pereka dalaman profesional untuk menjadikan sesuatu ruang nampak lebih harmoni, seimbang dan mewah tanpa perlu berlebihan.
Kaedah ini sebenarnya sangat mudah untuk dipraktikkan.Cukup dengan mengatur objek dalam kumpulan tiga sama ada pada meja kopi, rak hiasan, dinding galeri atau bahkan di atas katil tidur anda.
Walaupun kedengarannya simple, hasil yang tercipta mampu memberi aura luar biasa kerana susunan bertiga ini mencipta keseimbangan visual yang sedap dipandang dan tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Jika anda sedang mencari trik untuk menjadikan dekorasi rumah kelihatan lebih classy dengan usaha minimum, Rules of Three inilah jawapannya.
Permukaan rata seperti konsol meja, kabinet TV atau rak terbuka sering menjadi zon pameran yang pertama kali menarik perhatian tetamu.
Tetapi masalah biasa yang berlaku ialah ramai yang cenderung meletakkan terlalu banyak barang kecil sehingga nampak berselerak atau sebaliknya hanya meletakkan satu objek besar lalu menjadikan ruang kelihatan kosong.
Dengan Rules of Three, anda boleh mencipta keseimbangan yang tepat.
Caranya mudah iaitu dengan memilih tiga objek dengan saiz dan ketinggian yang berbeza. Contohnya, sebuah pasu tinggi berisi bunga segar, sebatang lilin hiasan bersaiz sederhana dan timbunan buku kecil yang disusun kemas.
Susunan ini bukan sahaja menambah dimensi visual, malah mencipta aliran mata yang lebih natural apabila dilihat dari jauh.
Rahsianya ialah pada perbezaan. Biarkan ada yang tinggi, sederhana dan rendah supaya hasilnya lebih dinamik bukannya rata dan kaku.
2. Ruang tamu
Ruang tamu boleh dianggap sebagai jantung rumah kerana ia merupakan tempat berkumpul, berbual dan menerima tetamu. Justeru, dekorasinya perlu ada keseimbangan antara fungsi dan estetik.
Satu cara mudah untuk menambah seri pada coffee table atau side table ialah dengan menggabungkan tiga elemen berbeza dari segi tekstur dan bentuk.
Misalnya, sebuah buku bergambar tebal yang diletakkan terbuka, mangkuk dekorasi seramik yang unik serta tanaman hijau kecil dalam pasu.
Kombinasi ini mencipta permainan tekstur antara kertas, seramik dan elemen semula jadi sekali gus menjadikan meja kelihatan lebih hidup.
Jika meja anda agak besar, anda boleh mencipta beberapa kelompok kecil yang masing-masing terdiri daripada tiga objek.
Kaedah ini bukan sahaja mengisi ruang tetapi juga membuatkan keseluruhan meja tampak seimbang dan tidak kosong, walaupun jumlah barangnya sedikit.
Selain itu, ramai orang gemar menghias dinding rumah dengan bingkai gambar, lukisan atau karya seni. Tetapi tanpa susunan yang betul, dinding boleh kelihatan bersepah atau tidak fokus.
Di sinilah Rules of Three sangat membantu. Anda boleh menggantung tiga bingkai gambar yang sama saiz dalam satu barisan lurus untuk kesan moden dan simetri.
Sebaliknya, jika ingin kelihatan lebih artistik, gunakan tiga bingkai berbeza saiz lalu susun dalam bentuk segitiga iaitu besar di bawah, sederhana di sisi dan kecil di atas.
Hasilnya ialah dinding yang tampak lebih menarik, seimbang dan mempunyai titik fokus. Kaedah ini juga menjadikan hiasan dinding tidak kelihatan terlalu kosong atau terlalu berat sebaliknya cukup ringkas tetapi tetap menawan.
BACA : 8 Barang Ini Bahaya Kalau Ditinggal Dalam Kereta
4. Bilik tidur
Bilik tidur sepatutnya menjadi ruang yang menenangkan dan salah satu cara untuk mewujudkan suasana itu adalah melalui susunan aksesori yang teratur.
Rules of Three boleh diaplikasikan di sini dengan cara yang sangat mudah tetapi memberi impak besar. Contohnya, di atas meja sisi katil, anda boleh letakkan lampu tidur, sebuah buku kegemaran dan satu aksesori kecil seperti lilin wangi atau figurin.
Susunan ini memberikan keseimbangan visual tanpa menjejaskan fungsi meja. Sementara itu, pada bahagian katil pula, susunan tiga bantal hiasan dengan lapisan berperingkat mampu menjadikan ruang tidur kelihatan jauh lebih mewah.
Bayangkan bantal besar di bahagian belakang, sederhana di tengah dan kecil di hadapan. Kesan yang terhasil seakan-akan bilik hotel eksklusif walaupun di rumah anda sendiri.
Di samping itu juga, hiasan tengah meja makan sering menjadi tumpuan terutamanya apabila anda menerima tetamu untuk makan bersama.
Namun, jika dibiarkan kosong meja mungkin kelihatan hambar. Sebaliknya, jika terlalu banyak aksesori diletakkan, ia boleh mengganggu fungsi meja. Jadi, gunakan Rules of Three untuk mencapai keseimbangan.
Contohnya, letakkan tiga pasu kecil berisi bunga segar dalam barisan lurus atau gunakan dulang kayu besar berisi tiga objek berlainan ketinggian seperti botol kaca, lilin, dan tanaman kecil.
Kaedah ini menjadikan meja makan tampak lebih berseri, elegan tetapi masih praktikal untuk digunakan setiap hari.
6. Variasi visual
Perlu diingat, Rules of Three tidak semestinya bermaksud tiga objek yang sama. Sebaliknya, ia lebih berkesan apabila anda bermain dengan variasi.
Sebagai contoh, gabungan pasu seramik putih yang sederhana, timbunan buku berkulit hitam yang elegan dan lilin yang berwarna emas yang mewah.
Walaupun ketiga-tiganya berbeza dari segi warna dan tekstur, hasil gabungan itu mencipta harmoni kerana saling melengkapi. Inilah keindahan sebenar Rules of Three.
Ia memberi ruang kepada kreativiti anda untuk bereksperimen tanpa mengorbankan keseimbangan visual.
Oleh itu, mengaplikasikan Rules of Three dalam dekorasi rumah adalah satu trik yang mudah tetapi mampu memberikan kesan yang besar.
Sama ada pada meja kecil di ruang tamu, dinding galeri yang kosong atau bahkan susunan bantal di bilik tidur, kaedah ini menjadikan ruang lebih harmoni, tersusun dan sedap mata memandang.
Kadangkala, dalam seni dekorasi, yang paling ringkas itulah yang paling memberi impak.
Jadi, jika anda mahu rumah tampil lebih elegan tanpa berbelanja besar, mulakan dengan susunan bertiga kerana dalam dunia dekorasi, tiga memang lebih baik daripada dua.
Sumber : nestorations, pinterest