Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Misteri Segitiga Bermuda: Saintis Dakwa Rahsia Akhirnya Terungkai
Segitiga Bermuda sejak sekian lama menjadi topik penuh misteri dan perdebatan ramai.
Mana tidaknya, kawasan perairan yang terletak di antara Florida, Puerto Rico dan Bermuda ini sering dikaitkan dengan kisah kapal dan pesawat yang hilang tanpa jejak.
Ada yang mengaitkannya dengan kuasa ghaib, makhluk asing (UFO) dan portal ke dimensi lain. Namun, seorang saintis dari United Kingdom (UK) tampil dengan penjelasan yang dikatakan lebih logik.
Dr Simon Boxall, seorang pakar oseanografi dari Universiti Southampton, menegaskan bahawa punca sebenar kehilangan kapal dan pesawat di Segitiga Bermuda bukanlah sesuatu yang misteri atau paranormal.
Sebaliknya, ia berkait dengan fenomena alam yang dikenali sebagai gelombang ganas (rogue waves).
Gelombang ini adalah dinding air yang boleh mencapai ketinggian sehingga 30 meter (100 kaki), hampir dua kali ganda daripada gelombang sekitarnya.
Lebih berbahaya, ia boleh muncul secara tiba-tiba dari pelbagai arah, bukan hanya dari arah tiupan angin.
Menurut Dr Boxall, sebuah kapal besar boleh karam hanya dalam masa dua atau tiga minit jika dihentam gelombang sebegini.
Menurut Dr Boxall, Segitiga Bermuda memang berpotensi menjadi kawasan ‘panas’ berlakunya gelombang ganas. Ini kerana pertembungan beberapa sistem ribut dari utara, selatan, serta tambahan dari arah Florida.
Keadaan ini boleh menghasilkan gelombang maut yang tidak dijangka.
“Gelombang ini sangat curam, sangat tinggi. Ada yang mencecah lebih 30 meter. Jika itu berlaku, kapal boleh tenggelam dalam masa dua hingga tiga minit,” jelas Dr Boxall.
Salah satu tragedi paling terkenal di Segitiga Bermuda ialah kehilangan USS Cyclops pada tahun 1918.
Kapal pengangkut arang batu milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) itu hilang tanpa menghantar sebarang isyarat kecemasan ketika dalam perjalanan dari Salvador, Brazil ke Baltimore.
Kapal sepanjang 165 meter itu membawa 306 orang kru, namun sehingga kini tiada sebarang bangkai kapal atau mayat ditemui.
Kehilangan mengejut ini telah menimbulkan pelbagai teori konspirasi, termasuk dakwaan tentang UFO.
Namun, Dr Boxall menjelaskan bahawa bentuk dasar kapal USS Cyclops yang rata menjadikannya lebih mudah terdedah kepada risiko dipatahkan dua jika dihentam gelombang ganas.
Ujian model skala kapal itu menunjukkan bagaimana gelombang tinggi mampu mengangkat kapal pada kedua-dua hujungnya, menyebabkan bahagian tengahnya terdedah dan akhirnya patah.
Walaupun teori Dr Boxall menarik perhatian, tidak semua pakar bersetuju bahawa Segitiga Bermuda sebenarnya penuh misteri.
Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), kadar kemalangan kapal atau pesawat di kawasan tersebut adalah normal, sama seperti di kawasan lautan lain yang sibuk dilalui.
Syarikat insurans maritim terkenal, Lloyd’s of London, juga mengesahkan bahawa data kehilangan kapal di Segitiga Bermuda tidak lebih tinggi berbanding kawasan laut lain di dunia.
Faktor persekitaran seperti banyaknya pulau kecil di Laut Caribbean yang mewujudkan kawasan cetek dan berbahaya untuk pelayaran turut menyumbang kepada insiden tersebut.
BACA: Kajian Dedah Bahaya “Calar” Pada Periuk Teflon
BACA: Kajian Dedah Bentuk Sebenar Tubuh Lelaki Yang ‘Sempurna’
BACA: Kajian Dedah Mikroplastik Ada Dalam Minuman Kegemaran Ramai
Sumber: Daily Mail UK