Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Paraxnormal merupakan sebuah karya seram psikologi komedi yang membawa pendekatan segar dalam genre seram tempatan.
Diterbitkan oleh Nanord Studio Production, filem ini menggabungkan unsur seram, psikologi, komedi gelap dan konflik persahabatan.
Penerbitnya, Nurul Ain Nordin berkata, Paraxnormal bukan sekadar paparan kisah makhluk ghaib, sebaliknya menelusuri sisi gelap sifat manusia seperti ketamakan, dendam dan pengkhianatan.
“Ilham untuk naskhah ini muncul secara tidak dijangka sewaktu sesi perbualan santai bersama sahabat saya, pelakon dan penulis skrip Epy Kodiang yang juga membintangi filem ini. Kami pernah bekerjasama dalam sebuah naskhah seram komedi sebelum ini.
Paraxnormal mengangkat kisah empat sahabat karib yang secara tidak sengaja mengalami pelbagai kejadian menyeramkan ketika cuba merompak sebuah vila misteri yang dikatakan berhantu, tetapi menyimpan harta bernilai lebih RM10 juta.

Ujarnya, barisan pelakon yang ditampilkan dalam filem terbitannya itu juga antara tarikan untuk menonton filem ini.
“Menerusi filem ini, barisan pelakon utama terdiri daripada gabungan pelakon berpengalaman dan pelapis baharu.
“Misalnya, dalam filem kami menampilkan Joey Daud sebagai Yasin, Azhan Rani sebagai Asri, Epy Kodiang sebagai Fateh, Amir Nafis sebagai Anas dan turut dibantu oleh Ellie Suriaty Omar dan Kamarool Haji Yusoff,” jelasnya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai filem berkenaan, Ain memberitahu mereka mula rancang Paraxnormal sebagai Super Telemovie pada tahun 2023, namun disebabkan kekuatan jalan ceritanya, Paraxnormal diputuskan untuk dibawa ke layar perak.
Namun begitu, penerbit berkenaan turut mendedahkan bahawa proses penggambaran tidaklah semudah yang disangka.
“Antara cabaran yang dihadapi termasuklah masalah teknikal seperti monitor dan kabel yang rosak walau selepas di ganti serta kejadian aneh yang sukar dijelaskan.
“Selain itu, ada hari waktu pengambaran, kru yang mendakwa terlihat ‘dua Ain’ serentak di lokasi, selain insiden penolong pengarah mengamuk tanpa sebab dan kemudian pengsan secara tiba-tiba, yang mana pada waktu itu pengambaran terpaksa ditangguhkan” kongsinya.
Sebagai penerbit, Ain menaruh harapan agar Paraxnormal yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 Ogos 2025 diterima baik oleh penonton dan menjadi salah satu filem seram tempatan yang meninggalkan kesan.
