Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Kenali Pokok Kebangsaan Malaysia, Pokok Merbau
Tinggal beberapa jam sahaja lagi rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan 2025. Pastinya kini ramai yang sudah bersiap sedia untuk pergi ke sambutannya terutama di Putrajaya esok.
Namun, sebelum menyambut Hari Kebangsaan, SK ingin berkongsi trivia mengenai pokok kebangsaan kita. Ramai sudah sedia maklum mengenai bunga kebangsaan iaitu bunga raya, namun mungkin masih ramai yang belum tahu tentang pokok kebangsaan.
Untuk pengetahuan, sejak 23 Ogos 2019, pokok Merbau telah dipilih sebagai pokok kebangsaan Malaysia.
Merbau atau nama saintifiknya, Intsia Palembanica dipilih sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan kekayaan biodiversiti negara.
Idea pokok kebangsaan telah dicetuskan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersama-sama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
Harapan mereka agar ia dapat membangkitkan semangat cintakan khazanah hutan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ia merupakan spesies daripada keluarga Fabaceae dan turut dikenali sebagai Malacca teak, borneo teak, moluccan ironwood, ipil, kwila dan mirabow.
Pokok terbabit bersaiz sederhana besar hingga besar dan berbatang lurus serta tumbuh hingga 50 meter tinggi. Ia juga berakar banir hingga 4 meter tinggi.
Merbau juga tumbuh di hutan tanah pamah terutamanya di pinggir sungai hingga ketinggian 1000 meter dari atas laut.
Menariknya Merbau merupakan pokok kayu keras tropika yang berkualiti tinggi. Manakala, spesiesnya pula boleh didapati secara meluas di seluruh Malaysia.
Di samping itu, kayunya juga tahan lama dan kalis serangan anai-anai.
Ketahanannya turut terbukti melalui penemuan artifak-artifak purba yang diperbuat daripada kayu merbau yang berusia hampir 900 tahun dan masih berada dalam keadaan kukuh di Gua Ago Batu Tulug, Kinabatangan, Sabah.
Selain itu, pokok tersebut juga digunakan sebagai bahan untuk membuat lantai seperti lantai kolam renang kerana ia tidak mudah rosak dan tahan kereputan.
Ia juga sangat sesuai dijadikan sebagai produk hiasan serta kelengkapan rumah seperti meja, kerusi dan hiasan taman kerana mempunyai bintik-bintik berwarna emas di sepanjang ira kayu.
Ingatlah, pokok Merbau adalah simbol kepentingan hutan kepada pembangunan industri, ekonomi serta kesejahteraan negara. Sama-sama kita menjaganya.
Sebagai penutup, SK ucapkan Selamat Hari Kemerdekaan ke-68. Semoga keharmonian dan semangat cinta akan negara terus kekal dalam jiwa rakyat Malaysia.