Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

‘Ketukan’ Misteri Ketika Waktu Malam Undang Resah Penduduk
Penduduk di Kecamatan Kemranjen, Kabupaten Banyumas dilanda resah selepas diganggu beberapa siri kejadian ketukan pintu misteri yang berlaku dua malam berturut-turut di dua buah kampung berbeza, lapor detik.com.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kemranjen, Iptu Arif Mustofa, insiden pertama berlaku di Desa Kecila pada Isnin malam (22 Sept) apabila tujuh rumah di RT 4 RW 1 menjadi sasaran.
“Penghuni mendengar pintu mereka diketuk kuat. Namun, selepas keluar memeriksa, tiada sesiapa pun ditemui. Tidak lama selepas pintu ditutup, ketukan berulang semula,” katanya kepada wartawan.
Beliau menjelaskan, kejadian yang berlaku itu menimpa rumah-rumah yang berada berdekatan, dengan jarak antara dua hingga lima meter.
Difahamkan, gangguan sama dilaporkan di Desa Kedungpring, iaitu kawasan berhampiran keesokan malam, dengan tiga rumah di RT 3 RW 1 terlibat dalam insiden sekitar jam 9 malam.
“Jarak rumah mangsa di Kedungpring agak jauh, kira-kira 50 meter, tetapi tetap berlaku hampir serentak,” kata Arif.
Katanya, tiada sebarang kehilangan harta benda dilaporkan, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.
Susulan kejadian, orang ramai meningkatkan rondaan malam, manakala pihak polis bersama dan sukarelawan turut menjalankan pemantauan di kedua-dua desa.
Sumber: Detik.com