Seram, Pempengaruh Terkejut Dengar Suara Misteri Di Siaran Radio Popular
Radio sering kali menjadi teman setia ketika sunyi. Suara penyampai yang mesra dan lagu-lagu yang mengalun tenang sering membuat pendengar merasa seolah-olah tidak keseorangan walaupun berada jauh daripada orang tersayang.
Tidak kira sama ada ketika memandu malam, duduk bersendirian di rumah atau sedang menyiapkan tugasan, radio hadir sebagai peneman yang setia, menemani setiap detik sepi dengan suara yang menenangkan dan cerita-cerita yang menarik.
Fenomena ini membuatkan ramai pendengar berkongsi pengalaman mereka dengan stesen radio kegemaran.
Ada yang menceritakan bagaimana stesen radio membantu mereka mengatasi rasa sunyi dan kemurungan, sementara yang lain berkongsi detik-detik lucu, mengejutkan atau seram yang mereka alami semasa mendengar siaran secara langsung.
Suara misteri menyanyikan semula lirik lagu ‘Dua Insan Bercinta’
Seorang pempengaruh terkenal baru-baru ini berkongsi pengalaman menakutkan yang mengejutkan ramai pengikutnya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @syiqinzaidi di TikTok, pada awalnya wanita ini sekadar merakam dirinya sedang melayan lagu sambil menunggu suaminya di dalam kereta.
Dia turut kelihatan tenang mendengar sesi pendengar menghantar pesanan suara (voicenote) untuk menyanyi secara langsung di udara.
Bagaimanapun, suasana berubah apabila segmen radio bersama penyampai bertukar menjadi pengalaman yang cukup menyeramkan.
Sebelum itu, pendengar berkenaan memperkenalkan dirinya sebelum berkongsi bahawa dia ingin menyanyikan sebuah lagu istimewa buat kakaknya yang telah meninggal dunia.
Pada mulanya nyanyian itu kedengaran biasa, namun selepas beberapa saat, suara pendengar terbabit secara tiba-tiba bertukar menjadi seram dan menyerupai suara misteri yang garau.
“Meremang weh, aku dah lah sorang-sorang dalam kereta… korang dengar tak?” ujar @syiqinzaidi.
Ramai mengakui mereka turut mendengar suara misteri yang sama
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok mengakui mereka turut mendengar suara misteri sama ketika segmen tersebut disiarkan secara langsung di radio ERA.
“Kenapa macam dengar suara lain weh? Sumpah meremang,” komen seorang wargamaya.
“Seram bila dengar. Tak pasal-pasal meremang,” komen seorang lagi wargamaya.
Sumber: @syiqinzaid via TikTok