Guna AI Hasilkan Trailer Animasi, Lelaki Ini Lamar Kekasih Dengan Cara Paling Unik
Setiap orang dilahirkan dengan kreativiti sendiri, namun cara menzahirkan keunikan itu berbeza-beza. Ada yang menulis, melukis, berkarya melalui muzik dan ada juga yang menjadikannya cara sebagai menyampaikan perasaan.
Bagi segelintir pula, cinta menjadi sumber inspirasi paling agung, kerana daripada perasaan itulah lahirnya karya-karya luar biasa yang mampu menyentuh hati dan perasaan ramai.
Kini, dalam dunia moden yang serba canggih, teknologi turut memainkan peranan besar dalam dunia ekspresi diri.
Kecerdasan buatan (AI), misalnya, bukan lagi sekadar alat bantu teknikal atau hiburan semata-mata, malah sudah menjadi medium baharu untuk berkarya dan meluahkan perasaan dengan cara yang lebih kreatif, unik dan peribadi.
Guna AI untuk lamar kekasih macam trailer animasi
Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan seorang lelaki melamar kekasih hatinya dengan cara yang cukup unik, sekali gus menarik perhatian ramai.
Menurut perkongsian di TikTok oleh @cellocoelho, lelaki yang juga merupakan seorang pengarah kreatif itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta trailer animasi berinspirasi daripada filem Disney sebagai cara melamar kekasihnya.
Pada awalnya, @cellocoelho atau nama sebenarnya Marcelo Coelho berkongsi rakaman sewaktu mereka menonton trailer tersebut bersama-sama.
Sekilas pandang, video itu kelihatan seperti animasi romantik biasa. Namun ia menjadi lebih bermakna apabila di penghujung tayangan, terpampang tulisan, “Berkahwinlah musim bunga ini… mungkin sekarang.”
Menariknya, animasi tersebut dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan disusun seakan-akan sebuah trailer filem yang menggambarkan perjalanan hidup kekasihnya serta kisah cinta mereka berdua.
Sepanjang tayangan berlangsung, kekasihnya kelihatan terharu sehingga mengalirkan air mata ketika menonton hasil karya yang begitu peribadi dan menyentuh hati itu.
Momen paling ‘sweet’ tentunya apabila muncul ayat “Will you marry me?” di penghujung animasi, sebelum @cellocoelho mengeluarkan cincin dan melamar kekasihnya seolah-olah mereka sedang hidup dalam filem animasi yang menjadi nyata.
Video tersebut mencecah 18 ribu tontonan setakat ini
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memberi pelbagai reaksi selepas menonton video itu.
Dalam masa sama, mereka juga berasa tersentuh dengan cara lamaran yang unik dan mengucapkan tahniah kepada bakal pasangan pengantin tersebut.
“Romantik dan tulus, lamaran yang indah, tahniah!” komen seorang wargamaya
“Dia menangis, saya menangis, semua menangis. Momen yang sangat indah,” komen seorang lagi wargamaya.
BACA: “Macam Pakai Botox…” Lelaki Tak Sangka Jadi ‘Mangsa Terpilih’ Sengatan Serangga Ini
BACA: Rasa Macam Makan Kat Kedai, Ini Resipi Mudah Salmon Buttermilk
BACA: WEF Ramal Pekerjaan & Kemahiran Ini Akan Jadi ‘Rebutan’ Pada Tahun 2030
Sumber: @cellocoelho, New York Post