Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Cetus Idea Kerjasama Serantau, Kenali Sosok ‘Bapa Pengasas ASEAN’
Pada 8 Ogos 1967, sejarah rantau Asia Tenggara tercipta apabila lima pemimpin berwawasan dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand menandatangani satu perjanjian penting di Bangkok, Thailand.
Melalui dokumen yang dinamakan Deklarasi Bangkok, tertubuhlah Association of Southeast Asian Nations (ASEAN).
Ia adalah sebuah pertubuhan serantau yang menjadi simbol perpaduan, keamanan dan kerjasama negara-negara Asia Tenggara hingga ke hari ini.
Kelima-lima pemimpin terlibat, kemudiannya dikenang sebagai Bapa Pengasas ASEAN.
Pada waktu itu, Asia Tenggara masih bergelut dengan kesan Perang Dingin, pertikaian politik dan konflik dalaman antara negara jiran.
Thailand memainkan peranan penting sebagai orang tengah mendamaikan Indonesia, Malaysia dan Filipina.
Hasil daripada usaha damai itu, muncul kesedaran bahawa masa depan rantau ini hanya dapat dijamin melalui kerjasama serantau yang kukuh.
Daripada perbincangan santai di pantai Bang Saen, Bangkok, selama empat hari, lahirlah semangat baru yang dikenali sebagai “sports-shirt diplomacy”. Dari situ, perbincangan demi perbincangan akhirnya melahirkan ASEAN.

Deklarasi Bangkok: Asas kelahiran ASEAN
Deklarasi Bangkok mengandungi lima artikel ringkas yang menegaskan penubuhan satu pertubuhan serantau bernama ASEAN.
Dokumen itu menjelaskan matlamat dan tujuan penubuhan ASEAN, iaitu memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, teknikal dan pendidikan.
Selain itu, ASEAN turut berperanan memupuk keamanan serta kestabilan serantau berasaskan keadilan, kedaulatan undang-undang dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Deklarasi ini juga menyatakan bahawa ASEAN terbuka kepada semua negara di rantau Asia Tenggara yang bersetuju dengan matlamat, prinsip dan tujuannya.
Ia menegaskan bahawa ASEAN melambangkan “kehendak bersama negara-negara Asia Tenggara untuk berganding bahu dalam semangat persahabatan dan kerjasama demi memastikan keamanan, kebebasan dan kemakmuran kepada rakyat masa kini dan generasi akan datang”.
Selepas rundingan selesai, kelima-lima Menteri Luar Negeri menandatangani Deklarasi Bangkok secara rasmi.
Beliau menekankan bahawa penubuhan ASEAN tidak mudah, namun kejayaan itu menunjukkan asasnya kukuh.
Beliau memberi amaran tentang kelemahan ekonomi Asia Tenggara yang terpisah-pisah dan menyeru kerjasama yang lebih erat agar sumber yang kaya di rantau ini dapat dimanfaatkan bersama.
Beliau mengimbas bagaimana idea ASEAN telah dibincangkan sejak setahun sebelumnya.
Adam Malik menegaskan visi Indonesia untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai rantau yang mampu berdikari dan bebas daripada pengaruh negatif luar.
Menurutnya, perbezaan pandangan boleh diatasi melalui semangat saling memahami, kerja keras, kesabaran dan keazaman.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, beliau menyeru negara-negara Asia Tenggara agar memikul tanggungjawab bersama untuk membentuk masa depan mereka sendiri.
Katanya, jika negara-negara rantau ini gagal bekerjasama dan bertindak bersama, mereka akan terus terdedah kepada campur tangan luar dan perpecahan dalaman.
“Kita, bangsa-bangsa Asia Tenggara, mesti bersatu membentuk pandangan dan kerangka baharu untuk rantau kita. Kita tidak akan mampu bertahan sebagai bangsa yang terpisah-pisah. Dengan penubuhan ASEAN, kita telah melangkah berani ke arah itu,” tegas beliau.
Beliau menekankan keperluan untuk menggabungkan pemikiran nasional dengan pemikiran serantau.
“Kita mesti berfikir bukan sahaja untuk kepentingan negara masing-masing, tetapi juga kepentingan rantau ini,” katanya.
Rajaratnam menegaskan bahawa kejayaan ASEAN memerlukan penyesuaian yang sukar dan menyakitkan, tetapi ia perlu demi perpaduan serantau.
Beliau menutup sidang itu dengan menekankan bahawa tujuan ASEAN ialah untuk membina, bukan memusnahkan.
Dalam ucapannya, beliau berkata bahawa negara-negara Asia Tenggara mesti bekerjasama untuk menghapuskan kemiskinan, penyakit dan kejahilan.
Beliau berharap ASEAN akan menjadi sinar kebahagiaan dan kesejahteraan bagi jutaan rakyat Asia yang berjuang untuk kehidupan yang lebih baik.

Sidang bersejarah itu ditutup dengan simbolik apabila Thanat Khoman menghadiahkan cenderamata kepada setiap rakan sejawatnya.
Pada cenderamata untuk Adam Malik tertera kata penghargaan, “Sebagai pengiktirafan atas jasanya kepada ASEAN, nama pertubuhan ini telah dicadangkan oleh beliau”.
Begitulah ASEAN dilahirkan. Daripada semangat perpaduan lima pemimpin yang berbeza latar belakang, tetapi berkongsi cita-cita yang sama.
Hanya 14 bulan selepas idea ini dikemukakan, Indonesia memulihkan hubungan diplomatik sepenuhnya dengan Malaysia dan kemudiannya dengan Singapura.
Walaupun pertikaian antara negara anggota masih berlaku, semua negara komited menyelesaikannya secara aman dalam semangat persefahaman ASEAN.
Logo asal ASEAN menampilkan lima tangkai padi berwarna perang, mewakili lima negara pengasasnya.
Warna perang melambangkan kekuatan dan kestabilan dan kuning melambangkan kemakmuran. Manakala, biru pula melambangkan semangat muhibah yang mendasari hubungan ASEAN.
Apabila ASEAN menyambut ulang tahun ke-30 pada 1997, tangkai padi itu bertambah menjadi sepuluh, melambangkan kesatuan semua negara Asia Tenggara.
Ia sekali gus merealisasikan visi para pengasasnya bahawa ASEAN dan Asia Tenggara akhirnya menjadi satu.
BACA: Sidang Kemuncak ASEAN: Logistik & Kemudahan Hotel Di Putrajaya Tak Cukup – Anwar
Sumber: Portal Rasmi ASEAN