Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

‘Perisai’ Mewah Presiden AS Bukan Biasa-Biasa

Hannah
the beast AS
Gambar: Astro Awani

‘Perisai’ Mewah Presiden AS Bukan Biasa-Biasa

Hari ini mencatatkan satu detik bersejarah apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilihat tiba di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Kehadiran Trump dalam konvoi rasmi yang turut membawa kereta presiden terkenal, “The Beast”, menarik perhatian ramai. Kenderaan perisai mewah itu diterbangkan khas ke Malaysia untuk kegunaan beliau sepanjang lawatan tersebut.

Seperti kereta rasmi Presiden China, Xi Jinping, iaitu “Hongqi N701”, The Beast juga bukan calang-calang. Ia ibarat kubu bergerak yang penuh dengan ciri keselamatan luar biasa.

Berikut ialah 7 ‘rahsia’ di sebalik “The Beast”, seperti dikongsikan menerusi laman Skyscape.

1. Dilengkapi senjata & sistem pertahanan canggih

Menurut Skyscape, “The Beast” bukanlah kereta mewah biasa. Ia dilengkapi dengan pelbagai sistem pertahanan seperti asap pengeliruan dan pemegang pintu yang boleh mengeluarkan kejutan elektrik.

Selain itu, ia dikatakan dilengkapi dengan kemampuan menyembur minyak bagi membuatkan kenderaan musuh hilang kawalan.

Di dalamnya pula terdapat senjata seperti senapang pam, bom tangan pemedih mata, alat penglihatan malam dan pelancar roket kecil.

Kereta ini sangat berat, dianggarkan sekitar lapan hingga 10 tan, dengan badan diperbuat daripada perisai keluli setebal lapan inci. Cermin tingkapnya juga sangat kuat, setebal lima inci dan mampu menahan tembakan peluru.

Bahagian dalam boleh ditutup rapat sepenuhnya jika berlaku serangan kimia, manakala tayarnya direka khas supaya masih boleh bergerak walaupun dalam keadaan pancit, lapor Skyscape.

2. Sebenarnya ada lebih daripada satu “Beast”

Menurut Skyscape, bagi mengelirukan pihak musuh, setiap konvoi presiden membawa sekurang-kurangnya dua unit “The Beast” yang sama rupa dan nombor platnya.

Kadangkala jumlahnya boleh mencecah sehingga tujuh unit seperti ketika upacara perlantikan Presiden Joe Biden pada tahun 2021.

Setiap versi baharu akan dinaik taraf dengan teknologi terkini. Walaupun sebuah “Beast” dianggarkan bernilai USD1.5 juta, namun syarikat General Motors (GM) dikatakan telah membelanjakan sehingga USD15 juta hanya untuk penyelidikan dan pembangunan model yang digunakan oleh Donald Trump pada 2018.

Namun, penggunaan minyaknya amat tinggi, sekitar 4 batu bagi setiap gelen (sekitar 1.7 km/liter), jelas Skyscape.

3. Menyimpan darah Presiden

Antara ciri paling luar biasa ialah “The Beast” dikatakan menyimpan bekalan darah yang sepadan dengan jenis darah Presiden. Jelas Skyscape, tujuannya adalah bagi menghadapi sebarang kecemasan perubatan.

Selain itu, kenderaan ini turut dilengkapi bekalan oksigen sendiri serta sistem komunikasi khas yang memastikan presiden boleh terus berhubung dengan pasukan keselamatan dan tentera AS pada bila-bila masa.

“The Beast” juga mampu memuatkan sehingga tujuh individu, termasuk doktor tentera presiden yang biasanya berada dalam salah satu SUV pengiring yang dikenali sebagai “Control Car”.

4. Sistem komunikasi bertaraf ketenteraan

Bahagian dalam “The Beast” begitu kedap bunyi sehingga hampir tiada bunyi luar boleh didengari. Untuk berkomunikasi dengan dunia luar, kenderaan ini dilengkapi mikrofon dan pembesar suara khas di bahagian luar.

Lebih menarik, menurut Skyscape, “The Beast” mempunyai sistem komunikasi satelit berteknologi tinggi. Ia dikatakan membolehkan presiden memberi arahan ketenteraan atau melancarkan kod nuklear, sekiranya berlaku ancaman besar.

5. Konvoi “The Beast” digerakkan dengan kawalan ketat

Menurut Skyscape, setiap kali “The Beast” bergerak, ia diiringi konvoi besar yang terdiri daripada kira-kira 50 kenderaan dan lebih 100 pegawai keselamatan.

Susunannya amat terancang, bermula dengan “Route Car” yang bergerak beberapa minit lebih awal bagi memeriksa laluan, diikuti “Pilot Car”, pasukan “Sweepers” bermotosikal yang menutup jalan, dan “Lead Car” yang berfungsi sebagai penunjuk arah utama.

Di tengah-tengah konvoi inilah “The Beast” berada, digelar ‘secure package’, namun tidak semestinya presiden sentiasa berada di dalamnya. Ada kalanya limo lain dijadikan umpan (decoy).

Tambah Skyscape, konvoi turut membawa pelbagai unit khas, seperti:

  • “Roadrunner” – pusat komunikasi bergerak

  • “Hazardous Materials Unit” – pasukan khas menangani serangan kimia atau biologi

  • “CAT Car” dan “Halfback” – kenderaan bersenjata untuk mempertahankan presiden, serta ambulans dan kenderaan media

Keseluruhan pergerakan ini merupakan operasi keselamatan yang disusun rapi dan berdisiplin tinggi, jelas Skyscape.

6. Sukar dikendalikan, walaupun oleh pemandu terlatih

Walaupun hanya dikendalikan oleh agen rahsia AS yang terlatih khas, mengemudi “The Beast” bukan tugas mudah, tambah Skyscape.

Semasa lawatan Presiden Barack Obama ke Dublin pada tahun 2011, misalnya, kereta itu pernah tersangkut di pintu keluar Kedutaan AS kerana bahagian bawahnya terlalu rendah.

Di Downing Street, London pula, pemandu “The Beast” pernah mengambil lima kali undur dan ke hadapan untuk membuat pusingan tiga penjuru yang biasanya mudah dilakukan.

Disebabkan saiznya yang besar dan berat, perjalanan presiden menaiki “The Beast” biasanya dihadkan kepada kurang 30 minit. Selepas itu, beliau akan beralih menggunakan helikopter Marine One atau jet rasmi Air Force One.

7. “The Beast” pernah jadi sasaran

Pada tahun 2017, semasa konvoi Trump melalui Missouri, sebuah kereta dilihat cuba melanggar “The Beast” dari arah tepi jalan.

Namun, siasatan kemudian mendapati insiden itu berpunca daripada masalah brek kenderaan awam. Rakaman kejadian oleh peminat yang digelar ‘Beast-spotters’ tular di media sosial ketika itu.

BACA: Cetus Idea Kerjasama Serantau, Kenali Sosok ‘Bapa Pengasas ASEAN’

Sumber: Spyscape