Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kereta Masih Baru Tapi Waranti Dah Batal? Ini Puncanya
Memiliki kereta idaman yang masih berkilat dan berbau harum kereta baru pasti memberikan kepuasan yang tersendiri.
Namun situasi boleh jadi mencemaskan apabila anda ke pusat servis untuk menuntut waranti tetapi anda diberitahu bahawa perlindungan waranti kereta anda sudah terbatal.
Perasaan panik dan keliru pasti muncul. Bagaimana waranti boleh terbatal sedangkan kereta masih baru dan dijaga dengan rapi?
Hakikatnya ramai pemilik kereta tidak menyedari bahawa tindakan kecil yang kelihatan remeh pun mampu menjejaskan waranti kereta baru anda.
Waranti bukan sekadar janji kosong daripada pengeluar tetapi satu bentuk perlindungan yang datang dengan syarat tertentu. Ia hanya kekal sah jika semua garis panduan penyelenggaraan dan penggunaan dipatuhi dengan teliti.
Malah kelalaian seperti melakukan servis di bengkel tidak luar, mengubah suai komponen asal atau lewat hadir servis sudah cukup untuk menggugurkan hak waranti tersebut.
Untuk mengelakkan kerugian yang tidak dijangka, penting untuk kita mengetahui punca-punca utama yang boleh membatalkan waranti kereta baru walaupun ia masih belum sampai setahun di jalan raya.
Salah satu kesilapan paling lazim pemilik kereta baharu ialah melakukan servis di bengkel biasa yang tidak diiktiraf oleh pengeluar.
Walaupun bengkel itu mungkin menawarkan harga lebih murah atau tempoh menunggu yang singkat, tindakan ini boleh mengundang padah.
Waranti hanya sah jika servis dilakukan di pusat servis rasmi atau bengkel yang mendapat pengiktirafan jenama tersebut.
Ini kerana setiap pengeluar mempunyai prosedur tersendiri, alat khas serta piawaian minyak dan alat ganti yang wajib digunakan.
Jika servis dibuat di tempat lain walaupun menggunakan alat ganti original, pengeluar boleh menolak tuntutan waranti atas alasan kerja penyelenggaraan tidak mengikut standard mereka.
2. Ubah suai enjin atau sistem elektronik
Ramai yang suka menambah aksesori atau mengubah sedikit komponen untuk meningkatkan prestasi kereta seperti menukar ekzos, menambah sistem audio lebih berkuasa atau memasang ECU tuning.
Namun setiap ubah suai seperti ini sebenarnya boleh menjejaskan sistem asal kenderaan. Sedikit perubahan pada pendawaian atau talaan kuasa boleh memberi kesan kepada ECU, gearbox atau sensor elektronik yang sangat sensitif.
Sekali berlaku kerosakan, pihak pengeluar boleh menolak tuntutan waranti dengan alasan kenderaan telah diubah suai dari spesifikasi asal.
Pendek kata, jika anda mahu kekalkan perlindungan waranti elakkan sebarang ubah suai yang boleh menjejaskan integriti sistem asal kereta.
Selain itu, nampak gaya lebih sporty memang menarik tetapi jangan lupa tindakan ini juga boleh menyebabkan waranti terbatal.
Menukar tayar kepada saiz yang lebih besar, lebih kecil atau melibatkan profil yang tidak disyorkan oleh pengeluar boleh mengganggu bacaan sistem ABS, kawalan kestabilan (ESC) malah mempengaruhi prestasi suspensi dan stereng.
Begitu juga dengan menukar kepada suspensi lowered atau adjustable tanpa kelulusan rasmi.
Ia bukan sahaja boleh menjejaskan keselesaan dan ketahanan komponen bawah kereta malah sekiranya berlaku kerosakan pada absorber atau sistem stereng, pihak pengeluar berhak menolak tuntutan waranti atas alasan pengubahsuaian tidak sah.
Jadi pastikan semua ubah suai berkaitan tayar dan suspensi mendapat kelulusan rasmi sebelum dilakukan.
4. Gagal ikut jadual servis berkala
Setiap pengeluar juga telah menetapkan jadual servis berkala. Biasanya setiap 10,000 kilometer atau enam bulan mana yang terlebih dahulu.
Tujuannya mudah iaitu untuk memastikan enjin dan komponen utama sentiasa berada dalam keadaan optimum.
Namun jika anda terlepas servis atau lewat datang walaupun hanya beberapa ribu kilometer, sistem mereka akan merekodkan pelanggaran tempoh.
Akibatnya waranti boleh terbatal kerana dianggap sebagai kegagalan menjaga penyelenggaraan mengikut garis panduan. Jadi, sentiasa peka dengan jadual servis. Jangan tunggu lampu amaran menyala baru mahu ke pusat servis.
Di samping itu, dalam dunia moden kini ramai pemilik kereta mahu menambah pelbagai peranti tambahan seperti dashcam, GPS tracker atau sistem audio yang lebih mantap.
Namun jika aksesori ini dipasang tanpa kelulusan rasmi atau melibatkan sambungan terus pada sistem elektrik utama, ia boleh menyebabkan masalah besar.
Sambungan pendawaian yang tidak betul berisiko menyebabkan short circuit atau gangguan pada sistem elektronik sedia ada.
Sekiranya berlaku kerosakan pada sistem elektrik, pengeluar boleh menolak tuntutan waranti kerana kerosakan berpunca daripada pemasangan tidak sah.
Untuk selamat, pastikan setiap pemasangan dilakukan oleh pusat servis bertauliah atau dengan kelulusan rasmi pengeluar.
6. Kerosakan akibat kemalangan atau bencana alam
Waranti tidak melindungi kerosakan akibat faktor luar seperti kemalangan jalan raya, banjir, kilat, kebakaran atau bencana alam lain.
Dalam kes sebegini, ia bukan tanggungjawab pengeluar. Sebaliknya perlu dituntut melalui insurans kenderaan.
Ramai pengguna tersilap anggap bahawa selagi waranti masih berjalan, semua kerosakan boleh dituntut sedangkan waranti hanya meliputi kecacatan pengilangan atau kegagalan komponen dalaman dan bukannya kerosakan akibat kejadian luar jangka.
Kadangkala demi menjimatkan kos, ada yang memilih alat ganti aftermarket atau tiruan. Walaupun nampak sama, kualiti dan prestasinya tidak setara dengan alat ganti asal (OEM).
Contohnya seperti brake pad, spark plug atau bateri yang bukan keluaran pengeluar. Sekiranya alat ganti ini menyebabkan kerosakan pada sistem lain, waranti bahagian berkaitan boleh serta-merta terbatal.
Untuk mengelakkan risiko ini, pastikan semua alat ganti dan minyak pelincir yang digunakan adalah yang disyorkan oleh pengeluar terutamanya semasa tempoh waranti masih berjalan.
8. Tidak melaporkan masalah dengan segera
Antara lain, ramai pemilik kereta baru mengabaikan tanda-tanda awal kerosakan seperti bunyi pelik, getaran luar biasa atau lampu amaran menyala.
Mereka biasanya memilih untuk tunggu dan lihat dengan harapan masalah itu akan hilang sendiri. Namun, tindakan ini boleh menjejaskan waranti.
Jika kerosakan kecil dibiarkan berlarutan sehingga menjejaskan komponen lain, pihak pengeluar boleh menolak tuntutan kerana dianggap sebagai kelalaian pengguna.
Sebaiknya, jika ada tanda-tanda luar biasa segera bawa ke pusat servis rasmi untuk pemeriksaan sebelum masalah menjadi lebih serius.
Oleh itu, memiliki kereta baru datang dengan tanggungjawab. Ianya bukan sekadar memandu dengan bangga tetapi juga menjaga setiap aspek penyelenggaraannya dengan teliti.
Waranti adalah bentuk perlindungan penting namun ia bukan tanpa syarat. Sedikit kecuaian atau keputusan ubah suai tanpa maklumat boleh menyebabkan anda kehilangan manfaat ribuan ringgit dalam sekelip mata.
Jadi, sebelum melakukan sebarang perubahan, semak semula syarat waranti dalam buku manual atau rujuk terus pusat servis rasmi. Lebih baik berhati-hati daripada menyesal di kemudian hari.
BACA : 7 Jenis Scam Kena Hati-hati Ketika Melancong
Sumber :
toyota,
motoreasy