Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ramai Tak Tahu, Ini Salah Satu Kawasan Takungan Air Tertua Di Malaysia
Tidak dinafikan, setiap kawasan di negara kita ini mempunyai pelbagai daya tarikannya yang tersendiri. Baik dari segi sejarah, keunikan, makanan, budaya dan sebagainya.
Namun begitu, masih ada sejarah yang sudah hampir dilupakan oleh generasi-generasi kini. Malah, jika ditanya, ada yang tidak mengetahui tentang sejarah di sebalik sesuatu kawasan.
Baru-baru ini, Persatuan Kartografi Malaysia telah berkesempatan menjejaki kawasan takungan air (reservoir) tertua di Malaysia yang terletak di Ayer Keroh, Melaka.
Untuk maklumat lanjut, ikuti perkongsian dari Encik Kartografi atau Shahrul Azzim Abd Aziz di bawah ini.
Encik Kartografi sekali lagi berkesempatan menjejaki kawasan takungan air (Reservoir) antara yang tertua di Malaysia yang terletak di Ayer Keroh, Melaka.
Kawasan takungan air yang kini dikenali sebagai Tasik Ayer Keroh merupakan salah satu tinggalan bersejarah yang masih wujud sehingga hari ini dan kini merupakan sebagai kawasan rekreasi air yang dikunjungi ramai pengunjung terutamanya pada waktu hujung minggu.

Namun tidak ramai yang mengetahui tentang sejarah kolam takungan air ini.
Berdasarkan beberapa maklumat yang merujuk kepada beberapa akhbar lama, kolam takungan air tersebut telah dirasmikan sekitar 132 tahun yang lalu laitu pada tahun 1893 oleh Sir Cecil Clementi Smith, Gabenor Negeri-Negeri Selat.
Merujuk kepada petikan di dalam akhbar Daily Advertiser yang diterbitkan pada 23 Mei 1893, majlis pembukaan rasmi fasiliti ini telah disertai oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat pada waktu itu, Sir Cecil Clementi Smith dan turut dihadiri lady Clementi dan pegawai kolonial.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan projek bekalan air ini dalam meningkatkan taraf kesihatan awam serta mencegah wahak penyakit yang sering menimpa penduduk Melaka pada ketika itu.
Beliau juga memuji dedikasi jurutera yang bertanggungjawab terhadap kejayaan projek ini dan mencadangkan agar nama “Ayer Keroh yang bermaksud air keruh digantikan dengan nama yang lebih sesuai iaitu Ayer Sala (Ayer Salak) kerana airnya yang jernih dan bersih.
Seterusnya, menurut akhbar The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser yang juga diterbitkan pada 23 Mei 1893, pembukaan rasmi kolam takungan air ini telah disempurnakan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith.
Beliau telah tiba dengan kapal Sea Belle bersama rombongan yang turut disertai oleh Lady Clementi, Residen Kaunselor, D. F. A. I Hervey, Mejar McCallum dan beberapa pegawai kolonial lain.
Ketibaan mereka disambut oleh Jurutera Kolonial dan Penyelia Kerja Raya sebelum beliau diberi penerangan tentang pelan takungan dan sistem pengaliran air.
Sebagai simbolik pembukaan rasmi, Sir Cecil Clementi Smith membuka injap utama yang membolehkan air mula mengalir ke daları saluran takungan. Selepas itu, beliau meninjau sekitar kawasan kolam takungan dan menaiki bukit berhampiran untuk melihat pemandangan keseluruhan kawasan.
Pada waktu tersebut, bekalan air dari kolam takungan tersebut disalurkan ke Bandar Melaka melalui paip besi sejauh 7.5 batu dan bersambungan dengan sebuah takungan perkhidmatan yang terletak di Bukit St. Paul (Bukit Melaka).
Kemudian dari takungan perkhidmatan ini, bekalan air diagihkan ke seluruh kawasan bandar dan pelabuhan Melaka.
Berdasarkan buku bertajuk The Singapore and Straits Directory for 1899; Containing Also Directories of The Federated Malay States: Perak, Selangor, Negri Sembilan, and Pahang, Johore, Labuan, British North Borneo, Sarawak, Deli (Sumatra) and Adjoining Provinces, Saigon, Western (Dutch) Borneo, Riouw and Dependencies, and Siam with an Appendix Comprising a large Amount of Useful Information, kolam takungan ini telah tersenarai antara tempat menarik untuk dilihat
Daripada aspek kartografi, kedudukan lokasi kolam takungan ini juga dapat dilihat di dalam naskah kartografi lama yang bertajuk Map of the Malacca Territory yang diterbitkan pada tahun 1916.

Di dalam naskah kartografi berusia 109 tahun, kolam takungan ini dilabelkan sebagai Ayer Salak Reservoir dan dinyatakan terdapat empat anak sungai yang menjadi sumber air kepada fasiliti ini iaitu Anak Air Batu, Anak Air Kayu Arah, Anak Air Keroh dan Anak Air Salak.
Jika kita melihat di sekitar kawasan kolam takungan, kelihatan sebahagian struktur asal yang masih wujud sehingga ke hari ini antaranya ialah tembok kolam takungan, telaga limpah (Tumbling well) dan menara injap (Valve tower).
Selain daripada menjadi kawasan rekreasi yang kini menjadi lokasi tumpuan pengunjung, sejarah pembinaan dan kewujudan kolam takungan air ini yang kini dikenali sebagai Tasik Ayer Keroh seharusnya dapat diketengahkan.
Selain daripada itu, struktur-struktur lama yang masih wujud di sini seharusnya dapat dipulihara agar tidak terus dimamah usia.
Tasik Ayer Keroh yang kini merupakan sebagai kawasan pelancongan rekreasi air dapat juga digabungkan kepelbagaian pelancongan dengan menjadikan ia sebagai kawasan pelancongan bersejarah.
Sumber: Encik Kartografi