Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Empat Negeri Dijangka Hujan Lebat Pagi Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang diramal melibatkan beberapa kawasan di empat negeri sehingga 12 tengah hari ini.
Menurut amaran yang dimuat naik di laman Facebook itu, hanya daerah Langkawi di Kedah dijangka terkesan.
“Keadaan di Pantai Timur menunjukkan ramalan hujan lebat dan angin kencang di daerah Rompin, Pahang.
“Manakala di Selatan Semenanjung, hanya daerah Mersing, Johor,” maklum jabatan berkenaan.
Beralih ke Kepulauan Borneo, beberapa daerah di Sarawak turut tersenarai, antaranya daerah Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei (Sarikei) dan Mukah (Tanjung Manis). Begitu juga daerah Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis, Miri dan Marudi).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia lanjut.
Sebelum ini, MetMalaysia telah mengeluarkan nasihat permulaan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula 13 November, hari ini. Musim monsun kali ini dijangka berterusan sehingga bulan Mac 2026.
“Dalam tempoh MTL ini, lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku,” maklum jabatan itu lagi menerusi kenyataan lain.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihat mengamalkan langkah berjaga-jaga dan peka dengan perubahan cuaca.
Menurut Bernama, Jawatankuasa Bencana Terengganu juga telah membuat persediaan awal bagi menghadapi musim monsun kali ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Datuk Hanafiah Mat mengesahkan sebanyak 851 pusat pemindahan sementara (PPS) telah siap disediakan. Ia dijangka mampu menampung kira-kira 214, 392 orang mangsa banjir.
Menerusi kenyataan yang sama, beliau memaklumkan bahawa kesemua PPS telah dilengkapi keperluan dan bakal diaktifkan sejurus mangsa dipindahkan.