Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Rob Friend Tidak Pernah Nafi Sebagai CEO Harimau Malaya
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian NT, Rob Friend menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menafikan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, lapor Stadium Astro.
Katanya menerusi muat naik di laman X, penjelasan yang diberi adalah berkenaan skop tugas dan bukan jawatan yang dipegang.
“Saya CEO. Penjelasan saya (kepada FIFA) hanya mengenai penglibatan saya, bukan peranan mahupun jawatan saya.
“Untuk lebih jelas lagi, saya tidak pernah menafikan bahawa saya adalah CEO,” maklumnya.
Penjelasan itu dibuat oleh Friend susulan laporan berhubung keterangannya yang diberikannya kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) sebelum ini.
Semalam, FIFA mengeluarkan alasan bertulis penuh atau Motivated Decision dalam mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan melibatkan kes pemalsuan dokumen.
Menerusi dokumen 64 halaman itu, FIFA mendedahkan bahawa Friend memberitahu bahawa beliau hanya bertindak sebagai konsultan kepada FAM.
“Friend memaklumkan bahawa beliau berkhidmat sebagai konsultan kepada FAM, berpusat di Kanada dan hanya ke Malaysia ketika hari perlawanan.
“Beliau menjelaskan bahawa peranannya adalah membantu projek tersebut, khususnya dalam aspek penambahbaikan kejurulatihan serta staf teknikal.
Menurut FIFA lagi, Friend juga memaklumkan bahawa semua proses berkaitan naturalisasi pemain diuruskan sepenuhnya oleh FAM di Malaysia.
Beliau hanya ditugaskan untuk membantu prosiding sejak ia dimulakan pada 22 Ogos 2025.
“Friend juga menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui sebarang salah laku dan tidak terlibat dalam mana-mana proses sebelum tarikh tersebut,” kata FIFA.
Semalam, FIFA mengesahkan bahawa dokumen sokongan bagi kelayakan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan yang dikemukakan oleh FAM adalah palsu.