Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Andika Rama Dari Indonesia Juarai Kategori Negara, Rangkul Kejuaraan TGR Asia Esports GT Championship 2025

Syamimi

Andika Rama Dari Indonesia Juarai Kategori Negara, Rangkul Kejuaraan TGR Asia Esports GT Championship 2025

Kejohanan TOYOTA GAZOO Racing (TGR) Asia Esports GT Championship 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh debaran di Toyota Alive Space, Bangkok.

Seramai 15 pelumba simulasi terbaik dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand berentap dalam tiga perlumbaan berintensiti tinggi melalui platform Gran Turismo 7.

Asia Esports GT Championship 2025

Kejohanan tahun ini turut menyaksikan lima rekaan corak grafik khas mewakili negara peserta, memberi warna dan identiti tersendiri kepada setiap jentera yang bertanding.

Indonesia Ungguli Podium Individu & Kategori Negara.

Andika Rama meraikan kemenangan selepas perlumbaan di Litar Suzuka. Dalam kategori individu, pelumba Indonesia, Andika Rama, menguasai keseluruhan aksi dengan 74 mata hasil perlumbaan yang konsisten dan strategi tepat. Tempat kedua turut menjadi milik pelumba Indonesia, Moreno Pratama dengan 62 mata, manakala Chong Kai Chang dari Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 59 mata.

Dominasi dua pelumba di podium membantu Indonesia mengumpul 169 mata secara keseluruhan menerusi Andika Rama, Farizi Pramaditya dan Moreno Pratama, seterusnya menobatkan Indonesia sebagai Juara Kategori Negara. Malaysia dan Singapura mengikuti di belakang dengan 151 dan 93 mata.

Litar Suzuka: Hujan Lebat Uji Kecekalan Pelumba

Perlumbaan pembukaan berlangsung sengit apabila hujan tiba-tiba melanda Suzuka, menjadikan setiap selekoh satu cabaran. Pemilihan tayar dan strategi hentian pit memainkan peranan besar.

Pelumba Malaysia, Taj Aiman, bermula cemerlang namun aksi tiga penjuru antara Andika Rama, Chong Kai Chang dan Iqbal Suji mencuri tumpuan. Di penghujung perlumbaan, Andika melakukan pecutan kemas untuk menang, diikuti Moreno Pratama dan Chong Kai Chang. Masalah tayar menyebabkan Taj Aiman berakhir di tempat keempat walaupun mendahului sebahagian besar perlumbaan.

Interlagos: Format Pasukan Penuh Buat Pertama Kali

Perlumbaan 21 lap di Interlagos memberikan cabaran endurance apabila format pasukan tiga pemandu diperkenalkan buat pertama kali. Setiap pasukan wajib melakukan dua pertukaran pemandu.

Malaysia bermula kuat, dengan Singapura dan Indonesia mengekori rapat. Pengurusan tayar menjadi faktor penentu apabila Indonesia dan Singapura berjaya memaksimumkan stint lebih panjang, manakala Malaysia, Filipina dan Thailand memilih lebih banyak pertukaran tayar.

Pertukaran pemandu yang tersusun membolehkan Malaysia kembali menguasai saingan lewat perlumbaan, lalu mengesahkan kemenangan. Indonesia mengekalkan konsistensi untuk tempat kedua, manakala Singapura menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Watkins Glen: Penutup Sengit 14 Lap

Perlumbaan terakhir menuntut ketepatan tinggi ketika kesemua pelumba hampir tidak berbeza lebih sedetik antara satu sama lain. Taktik pit awal Malaysia membawa mereka ke kelompok depan, namun kehausan tayar memaksa mereka masuk pit sekali lagi, membuka peluang

Indonesia mengambil alih pendahuluan. Fadtris Isa dari Singapura mencuri perhatian dengan aksi agresif hingga naik ke tempat kedua, mengejar rapat Andika Rama.

Akhirnya, Andika mengekalkan rentak kemenangan untuk menamatkan malam dengan dua kemenangan individu. Moreno Pratama menyusul di tempat kedua, manakala Chong Kai Chang bangkit dari tempat ketujuh ke tempat ketiga selepas gerakan memotong yang kemas di lap terakhir.

Jaja Ishibashi, Pengurus Besar Toyota Motor Asia berkata, “Edisi tahun ini benar-benar mencerminkan falsafah TGR. Setiap pelumba menunjukkan peningkatan, ketahanan mental dan semangat berpasukan. Inilah nilai yang menggerakkan GAZOO Racing.”

Juara individu, Andika Rama berkata, “Kemenangan ini hasil persediaan berbulan-bulan dan disiplin dalam mengikuti strategi kami walaupun situasi berubah. Setiap lap dan setiap keputusan memberi peluang untuk memperbaiki prestasi. Menang sekali lagi di peringkat Asia sangat membanggakan.”

Naib juara, Moreno Pratama, berkata, “Berentap dengan pelumba terbaik Asia sangat mencabar. Setiap perlumbaan menguji fokus dan adaptasi saya. Kejayaan ini datang daripada kerja berpasukan yang kukuh.”

Pemenang tempat ketiga, Chong Kai Chang berkongsi, “Tempat ketiga ada manis dan pahitnya. Saya sasarkan kejuaraan, tetapi podium pertama saya di peringkat Asia tetap satu pencapaian besar dan motivasi untuk terus maju.”

Anugerah Khas & Hadiah

Anugerah khas turut diberikan. Andika Rama dinobatkan Driver of the Day, Chong Kai Chang menerima Best Racecraft Driver, dan Fadtris Isa dari Singapura memenangi Fastest Race Pace.

Kedudukan keseluruhan ditentukan berdasarkan mata terkumpul merangkumi kedudukan akhir serta mata bonus untuk pusingan terpantas. Pemenang individu dan pasukan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak USD 8,000, USD 4,500, dan USD 3,000.

Untuk menonton semula TOYOTA GAZOO Racing Asia Esports GT Championship 2025, sila klik di sini.