Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ramai Selalu Buat, Mekanik Dedah Risiko Pasang “Aircond” Terus Lepas Masuk Kereta
Tidak dinafikan, cuaca panas di Malaysia boleh menjadi satu cabaran kepada orang ramai. Walaupun kenderaan diletakkan di tempat teduh, suhu dalam kereta tetap boleh meningkat dengan cepat disebabkan bahang.
Ramai yang sebaik saja masuk kereta, terus hidupkan aircond untuk dapatkan rasa sejuk secepat mungkin. Ini sudah menjadi tabiat bagi sesetengah orang.
Namun begitu, ramai yang belum faham bahawa tabiat ini ada kesan buruk jika dilakukan dalam jangka masa yang panjang.
Justeru, kali ini SK akan menjelaskan risiko pasang aircond terus tanpa menunggu enjin kereta panas supaya anda tahu tabiat yang dianggap remeh ini boleh merugikan.
Untuk makluman pembaca, perkongsian ini diambil daripada mekanik menerusi akaun TikTok @altimatsaujana.
Menurut mekanik tersebut, tabiat memasang aircond terus lepas masuk kereta boleh dilakukan, namun ia sebenarnya tidak digalakkan.
Sekiranya amalan ini dilakukan secara berterusan, ia boleh menjejaskan ketahanan kompresor.
Difahamkan, alat kompresor bukanlah komponen yang murah untuk diganti.
“Kompresor berfungsi memampatkan tekanan dan suhu gas dalam sistem aircond,” jelasnya.
Tambahnya lagi, apabila pemandu masuk ke dalam kereta yang bahagian kabinnya masih panas dan terus menghidupkan aircond, ia terpaksa bekerja lebih keras untuk menurunkan suhu kabin.
Untuk memastikan sistem aircond lebih tahan lama dan sejuk dengan lebih cepat, @altimatsaujana turut menyarankan beberapa langkah kepada pemandu kereta.
“Pertama, sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, turunkan tingkap terlebih dahulu,” ujar mekanik tersebut.
Seterusnya, hidupkan kipas aircond pada tahap paling rendah tanpa menghidupkan fungsi aircond, kerana tombol A/C mengawal operasi kompresor.
Mekanik tersebut turut mencadangkan untuk mengaktifkan mod udara luar, dengan menekan tombol dengan ikon anak panah dari luar ke dalam.
Ini membantu menarik udara luar yang lebih sejuk berbanding udara di dalam kabin yang panas.
“Apabila enjin sudah berada dalam keadaan stabil, barulah fungsi aircond boleh dihidupkan semula,” tambahnya lagi.
Setelah itu, tukar semula kepada mod kitaran dalam (recirculation) dan naikkan kelajuan kipas jika perlu. Pada tahap ini, udara dalam kabin sudah lebih sejuk dan kompresor tidak lagi terbeban.
Anda juga boleh menonton video daripada @altimatsaujana di bawah untuk memahami lebih lanjut cara yang dimaksudkan. Semoga bermanfaat.
BACA: Ramai Selalu Buat, Mekanik Dedah Risiko Tutup Enjin Tanpa Matikan “Aircond”
Sumber: @altimatsaujana