Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ambil Tahu, Ini 10 Punca Kereta Anda Boleh Terbakar

Hannah
Katalitik
Gambar: BERNAMA

Ambil Tahu, Ini 10 Punca Kereta Anda Boleh Terbakar

Tak dinafikan, kebakaran kereta antara insiden yang kerap tular di media sosial.

Ada yang berlaku ketika kenderaan sedang dipandu dan ada juga yang berlaku walaupun kereta sekadar diparkir di kawasan tertentu. Hakikatnya, kebakaran kereta boleh berlaku pada bila-bila masa.

Persoalannya, apakah punca sebenar yang boleh menyebabkan kereta boleh terbakar?

Berikut kami kongsikan 10 punca kebakaran kenderaan yang mungkin ramai tidak sedar, tetapi penting untuk diketahui demi keselamatan anda dan orang sekeliling.

1. Kebocoran sistem bahan api

Ini merupakan punca paling utama kebakaran kenderaan. Petrol dan diesel sangat mudah terbakar, malah percikan kecil sahaja boleh mencetuskan api, terutama apabila terkena permukaan logam yang panas. Jika anda terhidu bau petrol, segera periksa dan baiki kebocoran.

2. Kegagalan sistem elektrik

Masalah bateri dan pendawaian elektrik boleh menghasilkan percikan api. Pendawaian yang rosak atau terkopek di bahagian pintu, tempat duduk atau bawah karpet juga boleh menyebabkan kebakaran tanpa disedari.

3. Tumpahan cecair kenderaan

Kereta mengandungi pelbagai cecair yang mudah terbakar seperti minyak enjin, minyak gear, cecair brek, minyak stereng dan bahan api.

Jika berlaku kebocoran akibat kemalangan atau kerosakan komponen, api boleh tercetus dengan cepat, terutamanya di bahagian enjin.

4. Enjin terlebih panas

Enjin yang terlalu panas tidak terus menyebabkan api, tetapi suhu tinggi boleh menyebabkan minyak dan cecair lain melimpah ke bahagian panas lalu menyambar api. Masalah ini memerlukan pemeriksaan mekanikal segera.

5. Penukar katalitik (catalytic converters) terlebih panas

Komponen ini bahagian ekzos yang sangat panas. Jika ia bekerja terlalu keras akibat masalah enjin, suhunya boleh meningkat sehingga merosakkan bahagian sekeliling dan berpotensi mencetuskan kebakaran, terutama jika dekat dengan bahan mudah terbakar.

6. Bateri kenderaan hibrid dan elektrik

Walaupun jarang berlaku, bateri berkuasa tinggi dalam kenderaan elektrik dan hibrid boleh terbakar jika rosak atau terhimpit akibat hentaman.

Namun, statistik menunjukkan kebanyakan kebakaran masih melibatkan kereta petrol kerana jumlahnya lebih banyak di jalan raya.

7. Perbuatan khianat (Arson)

Ada kes kebakaran kenderaan berpunca daripada perbuatan sengaja seperti khianat, vandalisme atau penipuan insurans. Biasanya melibatkan pengubahsuaian pada sistem bahan api atau elektrik.

8. Kemalangan jalan raya

Hentaman kuat boleh menyebabkan kebocoran cecair, pengeluaran haba dan percikan api. Walaupun kereta moden direka dengan zon remuk untuk menyerap impak, kebakaran masih boleh berlaku. Jadi jika terlibat kemalangan, jauhkan diri dari kenderaan sebaik mungkin.

9. Penyelenggaraan kurang baik

Mengabaikan pemeriksaan berkala meningkatkan risiko kebakaran. Bahagian rosak, pendawaian bermasalah dan kebocoran tidak diperbaiki boleh mencetuskan insiden. Kenderaan lama dan klasik lebih berisiko jika tidak dijaga rapi.

10. Kecacatan rekaan (design flaw)

Walaupun jarang berlaku, ada kenderaan yang dipanggil balik (recall) kerana berisiko kepada pemiliknya. Pengeluar biasanya akan memperbaiki masalah ini, namun ia tetap menjadi faktor yang perlu difahami.

BACA: 10 Jenama Kereta Paling Banyak Dibeli Rakyat Malaysia 2025

Sumber: HowStuffWorks