Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Helikopter Super Lynx TLDM Mendarat Cemas Di Perairan Pantai Klebang

Hannah
Pegawai TLDM Dirawat Di Unit Rawatan Rapi
Gambar: 501 Squadron/FB via BERNAMA

Helikopter Super Lynx TLDM Mendarat Cemas Di Perairan Pantai Klebang

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan berlakunya satu insiden pendaratan cemas melibatkan sebuah helikopter Super Lynx miliknya di perairan Pantai Klebang, Melaka sekitar jam 10.50 malam, semalam.

Menurut TLDM, kejadian berlaku ketika pesawat berkenaan sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia.

“Seramai empat orang kru udara berada dalam pesawat ketika kejadian dan kesemua mereka telah berjaya diselamatkan serta dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

“Semua kru berada dalam keadaan sedar dan stabil serta sedang dipantau oleh pasukan perubatan,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, TLDM turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan segera berhubung kejadian terbabit.

“TLDM telah mengambil tindakan serta merta dengan mengatur gerakan operasi salvaj pesawat tersebut. Sebuah lembaga siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, TLDM memohon kerjasama orang ramai supaya tidak menularkan sebarang video atau rakaman insiden berkenaan bagi menjaga sensitiviti serta memastikan kelancaran proses siasatan.

Sumber: Tentera Laut Diraja Malaysia