PTPTN Bersama Harian Metro Prihatin, Realisasikan Impian Pendidikan Keluarga B40
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh komitmennya membantu golongan memerlukan dalam aspek pendidikan menerusi penganjuran Program Titipan Kasih Back To School Bersama PTPTN dan Harian Metro Tahun 2026.
Program ini merupakan inisiatif tahunan di bawah agenda Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN yang dilaksanakan secara konsisten bagi meringankan beban kewangan golongan yang kurang berkemampuan, khususnya ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu.
YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN bergambar bersama penerima sumbangan.Melalui pelaksanaan program ini, para pelajar yang berkeperluan dan terpilih menerima sumbangan set pakaian serta beg sekolah baharu.
Kerjasama strategik antara PTPTN dan Harian Metro ini turut menjadi salah satu usaha berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan anak bangsa, selaras dengan aspirasi PTPTN untuk memperkasa agenda pendidikan serta menyediakan peluang yang lebih baik kepada generasi muda, khususnya dalam kalangan golongan yang memerlukan.
Program Titipan Kasih Back To School Bersama PTPTN dan Harian Metro Tahun 2026 telah diadakan di Dewan Dahlia, Midtown PERDA, Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir YBrs. Encik Husain Jahit, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro, YBhg. Dato’ Omar bin Hj. Abdul Hamid, Pegawai Penyelaras KADUN Permatang Berangan, YBrs. Tuan Mohamad Zawawi bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN serta Encik Muhammad Muhsin bin Abdul Rahman, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.
Antara sebahagian penerima set lengkap pakaian dan beg sekolah serta sumbangan Simpan SSPN Prime semasa Program Titipan Kasih Back To School PTPTN dan Harian Metro Tahun 2026 di Pulau Pinang.Program ini memberi manfaat kepada 200 orang murid asnaf/ B40 dari empat (4) buah sekolah terpilih di Pulau Pinang iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya, Sekolah Kebangsaan Pokok Ketapang, Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti Tasek Gelugor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor.
Melalui program ini, pelajar akan menerima bantuan set pakaian serta beg sekolah berjumlah RM43,600 sumbangan daripada PTPTN.
Manakala pihak Media Prima Berhad pula turut memberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM20,000 di mana setiap pelajar akan menerima RM100.00 setiap seorang.
Bagi memastikan bantuan yang diberikan dinikmati oleh golongan sasar, program ini turut melibatkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN turut menyantuni penerima sumbangan dengan membantu mengenakan set pakaian lengkap dan beg sekolah kepada beberapa orang penerima semasa Program Titipan Kasih Back To School Bersama PTPTN dan Harian Metro Tahun 2026 di Pulau Pinang.Menurut YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, “Di sebalik peranan utama PTPTN dalam memperkasa pendidikan tinggi negara, PTPTN turut prihatin menyalurkan sumbangan melalui pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) secara berterusan bagi memastikan masyarakat tidak tercicir daripada arus pendidikan akibat masalah kewangan.”
“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam persediaan sesi persekolahan baharu di samping menyemai kesedaran tentang kepentingan perancangan dan simpanan pendidikan demi masa depan anak-anak.” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro, Encik Husain Jahit berkata, kerjasama buat tahun ketiga itu merupakan bukti keprihatinan berterusan Media Prima dan Harian Metro dalam memperkasakan pendidikan komuniti setempat.
“Kehadiran kami hari ini bukan sekadar menyerahkan bantuan fizikal, tetapi membawa mesej harapan agar anak-anak ini sedar bahawa mereka tidak sendirian dalam mengejar impian. Sebagai organisasi media terbesar, kami bukan sekadar penyampai berita, malah komited memberikan impak sosial yang nyata. Pengiktirafan sebagai Company of The Year (Anugerah CSR Malaysia 2023) serta Media of The Year (Sustainability & CSR Award 2025) adalah bukti iltizam kami dalam memperjuangkan nasib masyarakat secara konsisten.”
YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN merasmikan Program Titipan Kasih Back To School Bersama PTPTN dan Harian Metro Tahun 2026.PTPTN telah mewujudkan instrumen simpanan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.
Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma kepada pendeposit bagi simpanan RM1,000 ke atas, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan dijamin oleh kerajaan.
Sempena Bajet 2025, kerajaan telah bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 sehingga RM6,000 bagi tempoh dua (2) tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI). Pendeposit yang layak kini boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) prihatin membantu meneruskan impian pendidikan keluarga asnaf / B40 dengan mengadakan pelbagai kerjasama strategik dalam memastikan agenda pendidikan negara dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi menjamin kelangsungan pendidikan anak-anak Malaysia.